Bapa Beri "Wang Neraka" Pada Anak Suka Pinjam Duit "Along"

KUALA LUMPUR - Berang dengan tabiat buruk anaknya yang gemar meminjam wang daripada 'Along' untuk berjudi, seorang bapa bertindak memberikan 'wang neraka' apabila lelaki itu meminta bantuan untuk kali ketiga bagi melangsaikan hutangnya sebanyak RM110,000.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee, 60, ternyata malu dengan keadaan itu apabila mengambil keputusan untuk menyampaikan mesej jelas kepada anaknya bahawa “Kamu sudah tidak wujud lagi dalam hidup aku”.

“Saya sudah jalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan menolong anak saya. Tetapi selepas lapan tahun perkara ini berlaku, saya perlu hentikan. Dengan ini, saya meminta jangan ganggu kami sekeluarga,” katanya.

Pada 2009, anak Lee yang dikenali sebagai Ken berhutang sebanyak RM150,000 daripada enam 'ALong' untuk berjudi dalam talian.

Bapanya yang menjelaskan hutang itu kemudian menghantar anaknya belajar ke Australia dengan harapan perkara ini tidak akan berlaku lagi.

Selepas tamat pengajian pada 2013, Ken kembali ke tabiat lama dan meminjam RM40,000 atas dasar perniagaan dan meminta tolong ayahnya sekali lagi untuk melangsaikan hutang itu.

Sepanjang tempoh pembayaran, rumahnya disembur cat merah dan 'Along' mengedarkan risalah yang mengandungi gambar anaknya kepada jiran.

Ken yang menghilangkan diri, membiarkan keluarganya menanggung kesalahan yang dilakukannya.

Perkara yang sama berlaku pada Ogos lalu, apabila Lee menerima notis hutang RM110,000 daripada 'Along'. Ketika itu dia sedar bahawa tiba masanya untuk menamatkan semua ini.

“Saya tidak mempunyai wang lagi. Saya hanya ada 'wang neraka',” kata Lee pada sidang media di Pusat Perkhidmatan Awam MCA di sini, Isnin.

Lee dan Ken meminta pertolongan Datuk Seri Micheal Chong berkenaan isu ini.

“Selama 30 tahun bekerja, kes kali ini sangat mengejutkan saya,” kata Chong.

“Saya bertanya kepada Ken, apakah faktor yang menyebabkan beliau melakukan perkara ini.”

Ken membalas: "Saya hanya akan menjadi kaya apabila berjudi, dan berharap jika menang pada satu hari nanti, akan jelaskan semua hutang saya."

Pada Ogos, MCA menerima 54 kes berkenaan dengan pinjaman 'Along' berbanding Jun lalu, jumlah ini naik mendadak sebanyak 69 kes dan dipercayai berlaku semasa Euro 2016.

Sumber: mStar