BRASILIA - Hasrat sepasang suami isteri di Brazil untuk memiliki anak perempuan masih tidak kesampaian sejak berusaha hampir 20 tahun, sebaliknya mampu menubuhkan sepasukan bola sepak apabila dikurniakan seramai 13 anak lelaki.
Lebih mengagumkan, kesemua anak pasangan Irineu Cruz, 40, dan isterinya, Jucicleide dinamakan mengikut nama pemain bola sepak di benua Amerika Selatan dengan bermula huruf "R".
Usia kesemua anak mereka antara satu bulan sehingga 18 tahun, dan pasangan terbabit mengakui mereka masih enggan mengalah untuk mendapatkan cahaya mata perempuan.
Mengulas tentang nama yang diberikan pada anak mereka, Cruz berkata, dia menentukan nama setiap anak lelaki manakala isterinya akan memberi nama kepada anak perempuan.
Malah katanya, sebagai peminat fanatik bola sepak, sudah tentu dia akan mengambil nama pemain bola sepak yang hebat untuk diberikan pada anaknya.
Dia juga berharap sekurang-kurangnya seorang daripada anaknya akan bermain untuk pasukan bola sepak Brazil.
"Saya sentiasa meminati pemain hebat seperti Rivaldo, Roberto Carlos, Ronaldinho dan Robinho.
"Semua pemain yang hebat mempunyai nama yang bermula dengan huruf R dan sebab itu saya memilih nama pemain di benua ini untuk diberikan kepada anak lelaki saya," katanya.
Anak lelakinya yang baru berusia sebulan diberikan nama sempena legenda Brazil, Ronaldo.
Ronaldo kecil itu mengikuti jejak abang-abangnya iaitu Robson, 18; Reinan, 17; Rauan, 15; Rubens,14; Rivaldo, 13; Ruan, 12; Ramon, 10; Rincon, 9; Riquelme, 7; Ramires, 5; Railson, 3; dan Rafael berusia dua tahun.
Menurut pakar populasi, pasangan yang mampu memiliki 13 anak lelaki secara berturut-turut hanya berlaku dalam satu daripada 8,000 pasangan.
Sumber: mStar