BARCELONA membuktikan ketiadaan pemain bintangnya, Lionel Messi tidak menjejaskan prestasi pasukan untuk menundukkan Borussia Moenchengladbach 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Kumpulan C di Borussia Park, awal pagi Khamis.
Messi masih direhatkan akibat kecederaan pinggul.
Thorgan Hazard, adik kepada pemain tengah Chelsea, Eden menjaringkan gol pada minit ke-34 untuk pasukan tuan rumah sekali gus meletakkan mereka di depan pada babak pertama.
Namun Barca bangkit menerusi percubaan Arda Turan yang menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-65 untuk menyamakan kedudukan.
Gerard Pique berjaya melengkapkan gol kedua Barca pada minit ke-74.
Ia adalah kemenangan kedua Barca dalam saingan kumpulan C selepas mengatasi Celtic 7-0 di Camp Nou, dua minggu lalu.
"Pemain tuan rumah berusaha keras pada babak pertama tetapi secara keseluruhan saya rasa kami lebih bagus dan berhak menang" kata Pique.
Pemain sayap Gladbach, Patrick Herrmann mengakui amat sukar untuk menyekat kemaraan gergasi Sepanyol itu.
"Kami berjaya mendahului dengan 1-0 tetapi Barcelona memiliki pemain yang lebih berkualiti. Anda perlu kekal fokus selama 90 minit perlawanan," katanya.
Pengurus Barca, Luis Enrique menurunkan pemain Sepanyol, Paco Alcacer dalam kesebelasan utama untuk bergandingan dengan Neymar dan Luis Suarez.