Kredit Foto: Sinar Harian |
Sebut sahaja Langkawi, fikiran akan melayang jauh teringatkan suasana damai dan tenang di Pantai Chenang serta lagenda Mahsuri.
Langkawi juga bertuah kerana mempunyai lebih 90 geotapak yang telah dikenal pasti sehingga melayakkannya diiktiraf sebagai Global Geopark pertama di Asia Tenggara dan ke-52 di dunia serta Unesco Global Geopark (LUGG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2007.
Meneroka lebih jauh sejarah Langkawi yang terkenal sebagai lokasi formasi batuan tertua di Asia Tenggara, Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membawa Wartawan Sinar Harian ke salah satu geotapak berkenaan, iaitu Geotapak Batu Jatuh Pulau Tepor.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Zainol Husin berkata, terdapat dua lokasi Batu Jatuh ini, pertama di tebing curam di Pulau Tepor yang boleh dicapai melalui jalan laut, dan yang kedua di Tanjung Mali yang kedudukannya boleh dicapai melalui jalan darat.
“Kedua-dua lokasi ini merupakan tapak yang mempunyai struktur Batu Jatuh dalam batu lumpur yang mencipta sejarah geologi dan pembentukan bumi Langkawi khasnya dan Kedah amnya,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan kajian pakar ahli kaji bumi terdahulu, Batu Jatuh di Pulau Tepor berusia 1100 juta tahun dan merupakan Batu Jatuh tertua di Asia Tenggara.
“Manakala usia Batu Jatuh di Tanjung Mali sedang dikenal pasti dan sehingga kini, ahli Sains hanya menjumpai secara terbatas di Tanjung Mali, Pulau Tepor, Pulau Ular, Pulau Singa Besar, Pulau Beras Basah dan Pulau Intan,” katanya.
Bagaimana Batu Jatuh terjadi?
Menurut Zainol, Batu Jatuh terbentuk apabila sedimen halus dan kasar diangkut oleh air batu atau glasier terapung di permukaan air berjuta-juta tahun dahulu.
“Apabila cuaca panas, glasier mulai cair dan menyebabkan segala sedimen yang ada dalam glasier akan dilepaskan serta jatuh ke dasar lautan yang berlumpur.
“Geotapak Struktur Batu Jatuh di Pulau Tepor dan Tanjung Mali mewakili sejarah bumi yang penting di rantau Malaysia dan Asia Tenggara.
“Ia membuktikan bahawa ketika pembentukan struktur Batu Jatuh suatu masa dahulu, sekitar bumi Langkawi berada hampir dengan benua besar Gondwanaland (Antartika/India/Australia) yang terletak berhampiran Kutub Selatan,”katanya.
Zainol memberi penerangan mengenai pulau-pulau yang terdapat di Langkawi. |
Zainol turut menambah, proses pembentukan struktur Batu Jatuh ini juga sangat unik dan jarang dijumpai walaupun pada batuan yang sama.
“Umumnya, pembentukannya bermula dari bongkah ais di Kutub Selatan atas dataran iaitu bahagian Gondwanaland.
“Bongkah ais ini akan bergerak secara perlahan-lahan ke utara dan dasarnya berupaya mengangkut pelbagai jenis dan saiz pebel mewakili batuan dasar di sepanjang laluannya (batuan Gondwanaland).
“Bongkah ais ini dibawa arus ke lautan dan terus dihanyutkan ke utara (arah khatulistiwa) dan ketika air laut semakin panas, bahagian dasar bongkah ais akan cair dan pebel dari pelbagai batuan terus jatuh ke dasar laut yang semasa itu mengandungi sedimen lumpur yang masih bersifat lembut,”katanya.
Zainol menambah, pebel yang jatuh akan terperangkap di dalam sedimen lumpur, dan apabila sedimen ini mengalami proses pembatuan (mengeras), pebel-pebel yang asalnya diangkut oleh bongkah ais tersebut menjadi struktur batuan sedimen primer yang dikenali sebagai Batu Jatuh.
“Berikutnya, batuan ini mengalami fenomena tektonik, bergerak secara perlahan ke arah utara, sehingga sampai di khatulistiwa dengan kadar 5 hingga 10 sentimeter setahun hingga ia berada di kedudukan Langkawi sekarang,”katanya lagi.
Geotapak perlu dipelihara dan dipulihara
Menurut Zainol, kedua-dua lokasi ini merupakan salah satu geotapak yang mesti dipelihara, tambahan pula pakar geologi Unesco akan membuat penilaian setiap empat tahun.
“Ia merupakan satu landskap yang mempunyai nilai warisan tinggi dari segi geologi, mempunyai nilai warisan dan saintifik, estetik atau budaya yang sangat penting untuk dipulihara sebagai khazanah negara.
“Tanjung Mali dan sebahagian lokasi Pulau Tepor penting sebagai landskap dan dicadangkan pembinaan sebuah landasan sebagai kemudahan penduduk tempatan dan pelancong menikmati landskap dan titik berpandangan indah,”katanya.
Zainol berkata, tapak ini juga perlu dipelihara sebagai tapak warisan negara dan rujukan untuk penyelidikan, pendidikan dan produk Geopelancongan Langkawi Unesco Global Geopark.
“Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) disyorkan untuk mewarta bahagian Bukit Tanjung Mali sebagai kawasan pemuliharaan alam, sama ada dalam bentuk Hutan Lipur atau Hutan Bandar.
“Memandangkan pantai berbatu di Pulau Tepor dan Tanjung Mali mewakili rekod sejarah bukti Malaysia atau Asia Tenggara, pihak JMG juga mencadangkan ia diwartakan sebagai tapak Pemeliharaan Warisan Alam (geowarisan) bertaraf negeri.
“Sangat membimbangkan sekiranya geotapak Batu Jatuh Pulau Tepor dan Tanjung Mali musnah, jelas ia akan menutup peluang dalam penilaian semua Langkawi Unesco Global Geopark pada 2019,” katanya.
Sumber: Sinar Harian