Belasungkawa Datuk Dr. Ustaz Haron Din Al-Hafiz (1940 – 2016)


Pemergian Mursidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din pada pagi Jumaat di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) ditangisi seluruh rakyat Malaysia.

Ucapan takziah buat allahyarham turut memenuhi timeline laman sosial hari ini. Ternyata pemergian ulama terkenal ini sangat dirasai dan satu kehilangan yang besar di mata dunia.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Pada April 2012, allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital yang sama.

Namun, pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Berikut biodata ringkas mengenai allahyarham:

Haron Din dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis.

Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik-beradik. Dua orang saudara lelaki beliau juga merupakan tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Ishak Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan Din.

Semasa hayatnya, allahyarham sangat sinonim sebagai pengamal perubatan Islam. Beliau juga merupakan Pengasas Darussyifa’ iaitu Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Malaysia.

Beliau pernah mendapat pendidikan di Kolej Islam Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar seterusnya ke Universiti Darul-Ulum Qahirah.

Sebelum melibatkan diri dalam dunia politik, allahyarham merupakan seorang Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Allahyarham mula menjawat jawatan tertinggi PAS itu pada tahun lalu selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Menempuh onak duri dalam dunia politik tanahair, Almarhum pernah dituduh "menjual air jampi" oleh bekas Presiden dan beberapa pemimpin tertinggi UMNO ekoran penglibatan beliau dalam bidang perubatan Islam.

Walau bagaimanapun, difahamkan hubungan beliau dengan Presiden dan pemimpin tertinggi UMNO yang terkini adalah sangat baik dan mesra, selain pernah dilawati Dato' Seri Najib Tun Razak ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum ini.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.

Haron bertanding dalam tiga pilihan raya umum di kawasan Parlimen Arau, tetapi kalah dalam ketiga-tiga pertandingan.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tewas kepada pencabarnya, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mendapat undi sebanyak 17,367 dari Barisan Nasional.

Manakala pada 2008, beliau tewas kepada Ismail Bin Kasim dengan mendapat undi sebanyak 1,6451 dari parti yang sama.

Sementara itu pada 2013, beliau tewas lagi buat kali ketiga dengan 1,371 undi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kedahnews.com turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum yang pernah menjadi guru kepada salah seorang editor kami, dan semoga ruh beliau dicucuri rahmat dari Allah SWT. Al-Fatihah. – Kedahnews.com