SHAH ALAM - Pas meminta Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien, Tan Sri Khoo Chai Kaa menyenaraikan kepada pihaknya segala perkara yang tidak difahami berhubung pindaan RUU 355.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bersikap terbuka berhubung kenyataan yang dibuat Chai Kaa kelmarin yang mendakwa tidak memahami penjelasan dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Kalau beliau tak faham, minta beliau beritahu kita apa yang tak faham itu, yang mana beliau tak faham...tujuan Akta 355 atau prosedur yang kita nak laksanakan itu. Beritahu kita.
“Kita boleh berhubung dengan pihaknya semula melalui surat, telefon. Saya rasa tidak wajar pemimpin untuk satu pertubuhan yang besar sejurus kita mengadakan sesi dialog tiba-tiba kamu keluarkan kenyataan, ‘kami tak faham’. Begitu sahaja.
“Sepatutnya ruang yang ada pada perjumpaan itu diambil sebagai peluang untuk memahami perkara itu. Kemudian, apabila kita (merujuk kepada pihak persatuan) sudah faham, terpulanglah apa pendirian kita,” katanya semalam.
Kelmarin, Chai Kaa dilaporkan mengakui tidak memahami ucapan Abdul Hadi pada sesi penerangan persatuan itu dengan Pas dan akan meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah pindaan tersebut seperti yang dirancang sebelum ini.
Persatuan itu didakwa langsung tidak bertanyakan soalan kepada Abdul Hadi pada sesi pertemuan di pejabat mereka.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk mengadakan sesi penerangan kedua dan seterusnya kepada persatuan berkenaan.
“(Sesi kali kedua dengan Persatuan Hokkien) Boleh...boleh. Saya meminta sekali lagi, senaraikan apa yang beliau tak faham itu. Kita boleh berhubung balik. Kita terbuka. Katakanlah beliau tak faham, adakah Akta 355 ini berkait dengan pelaksanaan hudud dan sebagainya, beritahu kita.
“Sila nyatakan kepada kita apa yang mereka tak faham supaya kita boleh ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, Pas akan terus mengadakan sesi penerangan kepada umum dan paling hampir Abdul Hadi akan membuat sesi itu kepada pihak media, Khamis depan.
Sumber: Sinar Harian