Bersama Rai Pengaman Malaysia Sambut Aidiladha Di Beirut

TIMBALAN Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum (tengah) ketika sambutan Aidiladha di Kem MALBATT Ma'rakah, Lebanon semalam.- Foto BERNAMA
BEIRUT - Aidiladha disambut sederhana tetapi meriah oleh pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) di bumi Beirut dengan mengorbankan sejumlah 149 ekor kambing dan kibas sebagai memenuhi tuntutan agama.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, walaupun sedang menjalankan tugas menjaga keamanan di sini, anggota dan pegawai MALBATT tidak ketinggalan melaksanakan perintah dan tanggungjawab agama, termasuk ibadah korban.

"Kesemua daging korban akan diagihkan ke beberapa penempatan pelarian di sekitar tanggungjawab dan penugasan MALBATT," katanya kepada wartawan Bernama dan RTM di Kem MALBATT Ma'rakah, kira-kira 80 km dari Beirut pada tengah hari Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Datuk Mohammad Foad Abdullah, Komander MALBATT 850-3 Kol Reizal Arif Ismail dan Komander 850-4 Kol Nazim Mohd Alim.

Sebelum itu, kesemua mereka menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid di dalam kem ini dengan suasana hiba berjauhan daripada keluarga demi tanggungjawab terhadap bumi Balkan yang bergolak ini.

Mohd Johari berada di Beirut sejak Rabu lepas bersama-sama 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama Malbatt 850-4 yang diketuai Kolonel Nazim Mohd Alim untuk melihat sendiri kesiapsiagaan dan operasi dikendalikan pengaman negara.

Malbatt 850-4 diketuai komandernya Kolonel Nazim Mohd Alim dengan keseluruhan 850 pegawai dan anggota termasuk dua pegawai dan 28 anggota daripada Anggota Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah secara rasminya mengambil alih penugasan dari MALBATT 850-3 di bumi Lubnan.

MALBATT 850-3 diketuai komandernya, Kolonel Reizal Arif Ismail melibatkan 820 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 29 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang kakitangan awam telah diaturgerakkan bagi penugasan mengekalkan keamanan dan kestabilan kawasan tanggungjawab sejak 14 September tahun lepas.

Kerajaan Malaysia telah meluluskan pembabitan ATM dalam misi UNIFIL sejak 2007 bagi membantu pasukan pengaman daripada negara lain anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu. - BERNAMA