Bibik Lari, Bayi Ditinggal Dalam Rumah Berkunci

Seorang pembantu rumah tergamak meninggalkan bayi lelaki berusia sembilan bulan bersendirian selepas melarikan diri dari rumah majikannya, pada Selasa.

Insiden yang berlaku di Taman Putra Bukit Baru, Melaka, itu bagaimanapun hanya disedari ibu bayi berkenaan selepas pulang ke rumah melakukan pemeriksaan pukul 1.30 tengah hari.

Menurut satu sumber, wanita berusia 30-an itu mula merasa tidak sedap hati setibanya di hadapan rumah apabila mendapati pintu pagar utama terbuka.

Dia mula berasa cemas apabila gagal membuka pintu rumah yang berkunci dan jeritannya memanggil nama pembantu rumah tidak disahut.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, wanita itu segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan bomba.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Dzulkarnain Abd. Halim berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke rumah mangsa selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.38 tengah hari.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba yang ditugaskan dapat mendengar tangisan bayi berkenaan yang dikunci dalam rumah.

“Kami meminta keizinan daripada pemilik rumah sebelum mengumpil pintu di bahagian dapur menggunakan peralatan khas. Selepas 10 minit, kami membuka pintu berkenaan dan mengesan lokasi bayi terbabit.

“Anggota kami berasa amat lega apabila menemui bayi lelaki berkenaan yang sedang merangkak ke arah dapur,” katanya, memetik myMetro.

Bayi itu bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan. – Kedahnews.com