Bincang Dengan Polis Kawalan Keselamatan Pelajar - Cikgu Det

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan dengan polis bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah yang terdedah kepada risiko kemalangan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kawalan keselamatan itu bertujuan membendung kemalangan jalan raya membabitkan pelajar sekolah.

“Semua sekolah perlu mempunyai kawalan keselamatan yang baik namun, kami akan memberi tumpuan lebih kepada sekolah yang dianggap kritikal iaitu sekolah berhampiran dengan jalan raya utama.

“Pintu pagar sekolah yang berhampiran jalan raya utama mudah terdedah kepada risiko kemalangan membabitkan pelajar sekolah. Jadi, kawalan keselamatan perlu diperketat melalui kerjasama dengan pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan komputer tablet kepada warga guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mahdzir diminta mengulas isu beberapa kemalangan yang berlaku di hadapan kawasan sekolah sehingga mengakibatkan kematian berikutan kecuaian pemandu kenderaan.

Pada malam majlis itu, seramai 17,638 guru menerima komputer tablet yang dilengkapi aplikasi Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Datuk Mohd Noordin Abbas dan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur Foziah Buang.

Aplikasi itu memudahkan guru mencipta lembaran kerja digital untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan memilih soalan latihan yang turut disertakan dengan jawapan daripada bank soalan tutor.com.my, sebuah laman web pendidikan yang juga dibangunkan oleh Kumpulan Utusan.

Kaedah itu juga menggalakkan penglibatan murid dalam kelas, membuka minda melalui interaksi guru dan murid yang mampu memberi impak terhadap prestasi murid.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bintang Selatan Zarina Jamil, 39, berkata pemberian tablet itu memudahkannya membuat persediaan awal pembelajaran dalam kelas dengan merancang serta mencari maklumat mengenai sukatan pelajaran.

Sementara itu, berhubung penyebaran video berdurasi lapan minit di media sosial yang memaparkan aksi dua individu yang didakwa guru bercumbu seperti yang dilaporkan media, Mahdzir berkata siasatan terhadap kesahihan video itu sedang dijalankan. – BERNAMA