Menyedari dirinya tiada lagi harapan dan sedang nazak, seorang ibu telah menulis surat yang menyayat hati kepada anak yang masih kecil sebelum kemudiannya memasukkan surat berkenaan di dalam helaian sebuah buku.
Dia berharap anak kecilnya itu akan menemui surat berkenaan suatu masa nanti selepas dia meninggal dunia.
Malangnya surat itu tidak ditemui sehinggalah 15 tahun selepas itu, apabila ia ditemui masih terselit dalam helaian sebuah buku di kedai buku terpakai kepunyaan Gordon Draper di Auckland, New Zealand.
Draper, 52, kini sedang berusaha mengesan pemilik surat itu.
Dalam surat berkenaan, si ibu memberitahu anaknya, Bethany yang digelar sebagai `harta kecil ku’ bahawa dia telah menjalankan pembedahan namun tidak berjaya.
“Dada ku amat sakit dan ibu telah menjalani pembedahan untuk menjadikan ia lebih baik tetapi tidak berkesan.
“Ibu akan selalu berada di angkasa sambil memerhatikan awak ketika awak memandang bintang di langit, seperti lirik lagi Twinkle Twinkle Little Star, dan itulah ibu,’’ demikian tulisan dalam surat itu.
Menurut Draper, dia sangat sedih apabila membaca surat berkenaan dan masih ingat seorang wanita yang datang ke kedai buku itu dengan membeli banyak buku, kira-kira 15 tahun lepas.
“Wanita itu memanjakan anaknya dengan buku set Beatrix Potter dan Paddington Bear,’’ kata Draper yang tidak mengetahui bagaimana buku yang mengandungi surat wanita terbabit boleh berada di kedainya.
Draper berkata, dia amat berharap untuk menyatukan surat tersebut dengan Bethany dan kini sedang mengesan pemilik surat terbabit. - Kedahnews.com