GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang akan mengetuai operasi mencari dan menyelamat warga Brazil, Lucas Bondezan, 24, yang hilang selepas bot mewah yang dinaikinya karam pada Jumaat lepas.
Pengarah Daerah II Maritim Pulau Pinang Rozali Mohd Said berkata APMM negeri akan mengetuai operasi itu berikutan ia adalah aset terbaik yang paling dekat.
Ketika cuaca semakin baik pada Ahad, mereka melancarkan Kenderaan Kendalian Kawalan Jauh (ROV) ke dasar laut berdekatan lokasi bot mewah yang karam itu selain menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
"ROV boleh pergi sehingga kedalaman 300 meter dan terdapat kemungkinan dia terperangkap di dalam bangkai bot itu," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad.
Selain ROV, APMM turut menghantar dua buah bot, KM Burau dan KM Perwira, ke lokasi kejadian dan memperluaskan kawasan pencarian daripada 10 batu nautika dari tempat kejadian kepada 15 batu nautika, termasuk kawasan daratan paling hampir.
Rozali berkata penyelam tidak boleh melakukan tugas mereka itu berikutan keadaan arus dan gelombang yang buruk.
"Keadaan laut berada pada tahap empat dan tidak selamat bagi penyelam untuk melakukan operasi dan menyelamat," katanya.
Bagi membantu misi menyelamat, pemilik bot mewah itu turut meminjamkan helikopternya untuk operasi itu.
Dalam insiden pada pagi Jumaat lepas, bot mewah UN1K milik warga Perancis Pascal Vuanh-Quan yang dinaiki empat orang meletup di tengah laut 15 batu nautika di barat Mukah Head ketika sedang dalam perjalanan ke Singapura.
Tiga orang, termasuk kapten bot itu, cedera dan diselamatkan oleh nelayan tempatan serta dibawa ke jeti Kuala Kedah.
Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai warga Siberia, Novak Novakovic, 28, warga Croatia Rudolf Kolic, 61, dan warga Republik Czech Jaroslav Horejsek, 37.
Dua daripada mereka yang cedera ringan telahpun dibenarkan pulang manakala, Horejsek, kapten bot berkenaan, dipindahkan ke Hospital Langkawi. - BERNAMA