Brunei Lancar Teksi Bermeter Atasi Masalah Kereta Sapu

BANDAR SERI BEGAWAN – Meskipun sudah merdeka daripada penjajahan Britain sejak 1984, operasi teksi di Brunei tidak pernah menggunakan meter untuk penetapan tambang perjalanan.

Sebaliknya, kadar ditetapkan sendiri oleh pemandu atau tawar-menawar harga dengan penumpang sementelahan hanya ada lebih kurang 50 buah teksi di seluruh negara kecil yang kaya minyak di rantau Asia tenggara itu.

Penggunaan teksi cuma popular dalam kalangan pekerja asing atau pelancong luar kerana sebahagian besar daripada hampir 500,000 penduduk Brunei memiliki kenderaan persendirian untuk bergerak ke mana-mana.

Namun, ia menyebabkan kemunculan lebih 200 buah ‘kereta sapu’ oleh pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengenakan caj mahal selain mencemar imej Brunei yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Teksi berlesen di Brunei dikendalikan individu, dengan setiap pemandu perlu membayar lesen B$50 (RM152) setiap enam bulan serta insurans tahun pertama B$3,000 (RM9,124) disusuli tahun seterusnya B$1,000 (RM3,041).

Susulan itu, Kementerian Komunikasi melancarkan sistem teksi bermeter pada 23 September sempena keberkatan Jumaat sebagai penghulu segala hari bertempat di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini.

Buat permulaan tambang ditetapkan B$3.50 (kira-kira RM10.65) untuk satu kilometer yang pertama atau seminit pertama, yang mana dahulu; sebelum caj ditambah B$0.80 (RM2.43) setiap satu minit atau per kilometer.

Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh menterinya, Dato Seri Setia Haji Mustappa Haji Sirat, lapor akhbar The Brunei Times selain turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan hentian teksi di seluruh negara.

Isu itu turut diakui Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry Haji Ladi yang juga Pengerusi Lembaga Pelesenan Pengangkutan Bermotor yang hadir pada majlis berkenaan kerana setakat ini hanya ada lima hentian.

Pihaknya berharap dapat menambah lebih lima hentian baharu dalam usaha menggalakkan rakyat menaiki teksi selain memperkenalkan aplikasi tempahan atas talian berteknologi tinggi untuk penumpang menghubungi teksi.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Teksi Brunei, Robert Sia berharap, pelaksanaan sistem bermeter akan menarik penduduk memilih perkhidmatan awam tersebut terutama untuk mengelak kesukaran mencari parkir di bandar.

“Tambang teksi ini sebenarnya lebih murah jika dinaiki maksimum empat penumpang dan jimat masa meninjau petak parkir kosong apabila pergi ke pusat beli-belah pada waktu puncak,” katanya kepada The Brunei Times.

Bagaimanapun Sia turut berharap pihak hotel tempatan menggalakkan pelanggan mereka menaiki teksi kerana ramai dilaporkan merungut terpaksa menaiki van ulang-alik disediakan hotel dengan dikenakan caj lebih mahal.

“Ini masalah besar. Misalnya ada dua teksi di kawasan Kuala Belait/Seria dan lapan hotel di situ tetapi pemandu mengadu mereka langsung tidak dipanggil untuk angkut penumpang,” jelasnya.

Teksi di Brunei mudah dikenali kerana menggunakan plat pendaftaran yang berlatar belakang warna hijau selain perkataan TEKSI atau TAXI di kedua-dua pintu hadapan kereta berkenaan. – Agensi