Brunei Tak Lulus Tayangan Filem "Pekak"

SETELAH kejayaan merangkul dua anugerah di Rusia, filem Pekak terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Lightbulb Picture menerima berita duka pula apabila tayangannya di Brunei Darussalam tidak diluluskan.

Menurut surat yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei pada 23 Ogos lalu, filem gandingan pelakon hebat Zahiril Adzim dan Sharifah Amani itu tidak diluluskan kerana disifatkan tidak mengandungi unsur pendidikan.

Selain itu, kenyataan dalam surat itu turut mendakwa filem itu boleh memberi pengaruh tidak baik kerana memaparkan adegan menghisap dadah, penjualan dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.

Sementara itu, Pengurus Besar Inovasi dan Pengedaran Primeworks Distribution, Marini Ramlan, mengakui kecewa namun akur dengan keputusan kerajaan negara jiran itu.

“Ia sungguh mengecewakan kerana Pekak berpotensi dan diterima di negara lain tetapi tidak di negara jiran.

“Kami terpanggil untuk memberi kenyataan berikutan ada peminat dari negara itu yang bertanyakan mengapa filem Pekak yang sepatutnya ditayangkan semalam tidak ada di pawagam negara mereka.

“Mereka tidak membenarkan filem ini ditayangkan di sana, tetapi kami berharap mungkin ada cara lain atau saluran lain seperti IPTV atau digital yang dapat membantu untuk penonton di sana menyaksikan filem ini.

“Kami sedar unsur-unsur yang ditampilkan dalam filem ini tidak menepati peraturan negara mereka, tetapi itulah realiti kehidupan yang cuba kami tonjolkan di dalam filem ini,” katanya kepada Harian Metro.


Terdahulu, filem ini telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Zahiril dan Skrip Terbaik (Khairul Azri) di International Motivational Film Festival – Bridge of Arts 2016 (IMFF) di Rostov-on-Don, Russia.

Filem arahan Khairul Azri Mohd. Noor atau Kroll Azry turut menampilkan pelakon Sharifah Sakinah, Joe Flizzow, Amerul Affendi dan Iedil Putra. –Kedahnews.com