Calon Suami Fara Fauzana "Kantoi" Berstatus Suami Orang?

BELUM pun reda berita pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana membatalkan perkahwinan pada saat akhir, tiba-tiba peminat hiburan dikejutkan pula dengan desas-desus mengenai status calon bakal suaminya.

Menurut seorang sumber kepada Harian Metro, perkahwinan itu dibatalkan secara drastik disebabkan oleh status Hafiz yang masih lagi merupakan suami orang.

Jelas sumber itu lagi, Fara baharu sahaja mendapat tahu mengenai perkara itu apabila tarikh perkahwinannya semakin dekat.

“Silap dia sendiri sebab tak berterus-terang, sepatutnya dia perlu jujur. Akhirnya status perkahwinannya ‘kantoi’ dengan Fara.

“Dalam perkara ini dia tak boleh sorok. Bukan apa, ia perkara sensitif. Apatah lagi Fara golongan selebriti terkenal. Mahu atau tidak, perkara ini pasti menjadi heboh,” tulis akhbar itu.

Tambah sumber itu, ekoran enggan menjadi isteri kedua kepada Hafiz yang juga ahli jawatan kuasa satu parti politik di ibu kota, Fara mengambil keputusan membatalkan majlis tersebut.

Terdahulu, Fara membuat kenyataan rasmi memaklumkan perkahwinannya bersama jejaka bernama Hafiz yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini dibatalkan atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dikongsikan. –Kedahnews.com