Chong Wei Raih Gelaran Ke-6 Terbuka Jepun


KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei merangkul gelaran keenam selepas muncul juara Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun, semalam.

Pada pertembungan final di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini, pemain nombor satu dunia itu bertarung selama satu jam 10 minit dalam pertandingan ‘rubber set’ sebelum berjaya menjinakkan lawannya dari Deunnmark Jan O Jorgensen 21-18, 15-21, 21-16.

Kejayaan ini merupakan kejuaraan pertama dimenangi pemain berusia 33 tahun itu selepas meraih pingat perak di temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos lepas.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan, ketinggalan 11-8, bangkit mengejar Jorgensen selaku pilihan ketiga dan menamatkan set pertama dengan 21-18.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan Jorgensen yang menghuni ranking kelima dunia apabila menang set kedua dengan 21-15, sekali gus mengheret kepada permainan ‘rubber set’.

Chong Wei kembali menemui rentak pada set penentuan dan menguasai set ketiga dengan 11-8, sebelum menamatkan aksi final dengan mengesahkan kemenangan 21-16.

Chong Wei sebelum ini pernah muncul juara Terbuka Jepun pada 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014. – BERNAMA