Contohi Kegigihan Arwah Ustaz Azizan Mentadbir - PAS Kedah

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah wajar mencontohi kegigihan bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak melakukan pelbagai transformasi dalam bidang pendidikan, pertanian, pentadbiran serta pengurusan untuk merencanakan kebajikan rakyat di tahap maksimum.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan kepimpinan kerajaan negeri yang diberi amanah oleh rakyat dalam mengisi kemerdekaan di negeri ini.

“Alhamdulillah dan tahniah warga Malaysia kerana berpeluang meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-59. Nikmat kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang pernah dijajah atau kalangan yang cuba menyelami peri peritnya kehidupan tanpa kemerdekaan.

“Islam itu sendiri hadir di tengah masyarakat jahiliah untuk memerdekakan umat manusia dari pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada penciptanya. Itulah kemerdekaan paling agung kerana ALLAH yang mencipta makhluknya lebih mengetahui sejauh mana batas kebebasan seorang insan, semuanya wajib berlandaskan syariat,” katanya.

Menurutnya, dari aspek politik misalnya Pas mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama memainkan peranan membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang dilanda wabak rasuah, ketirisan, tekanan terhadap rakyat melalui bebanan sara hidup yang tinggi serta ketidakpedulian mereka terhadap rakyat bawahan yang sedang tertindas.

“Dalam lingkungan negara moden, Perlembagaan Persekutuan meletakkan fasal mengenai kebebasan bersuara, beragama, berhimpun dan bergerak dalam negara. Itu antara nikmat yang di kecapi dalam sebuah negara merdeka. Justeru tiada pihak yang wajar menidakkan semua hak-hak yang termaktub.

“Di samping kita bergembira meraikan kemerdekaan negara tercinta, jangan lupa terhadap kalangan rakyat yang masih terpinggir dari arus pasca kemerdekaan, tersisih dari aspek keilmuan, keimanan mahupun material,” katanya.

Ujarnya, usaha membantu golongan terpinggir wajib dilakukan semua rakyat yang sedar akan peranan mereka sebagai warga yang lebih bernasib baik dalam sebuah negara merdeka.

Sumber: Sinar Harian