Bekas ratu cantik Ukraine 2013, Anna Zayachkivska yang dilaporkan hilang oleh suaminya yang juga seorang jutawan Itali pada Julai lalu, akhirnya dikesan berada di New York selepas gambarnya bersama seorang lelaki dimuat naik dalam instagram milik wanita terbabit.
Anna sebelum ini dilaporkan hilang selepas memberitahu suaminya, Gianluca Cervara, bahawa dia ingin mengambil angin di luar rumah mereka di Milan, Itali.
“Jika saya masih di situ, dia akan membunuh saya, jika bukan fizikal, jiwa saya. Saya berhenti daripada menjadi model kerana saya sangka dia akan menghormati saya namun saya hanya anak patungnya,’’ kata Anna.
Anna yang berusia 24 tahun mendakwa suaminya itu bersikap ganas terhadapnya. Suaminya pula kini menyaman Anna kerana tidak menepati kontrak perkahwinan mereka.
Dia yang kini menjadi model di New York mendakwa telah menulis kepada suaminya untuk memaklumkan bahawa dia mahu berpisah dan Gianluca mengetahui ke mana Anna akan berhijrah.
“Dia tahu di mana saya akan pergi. Dia cuba memburukkan nama saya kerana saya meninggalkannya. Kebebasan lebih penting daripada segalanya. Saya berasa aman di New York dan dapat menghirup udara bebas ketika berjalan di ibu kota ini,’’ katanya.
Anna pernah memperagakan fesyen untuk jenama terkenal seperti Armani, Ralph Lauren dan Tods.
Anna dan Cervara |
Dalam pada itu, Gianluca menafikan dakwaan dia mendera Anna dan jelasnya berdasarkan gambar-gambar isterinya di New York, ia menunjukkan wanita itu hidup dalam kegembiraan.
“Dia mempunyai banyak gambar-gambar menarik bersama lelaki lain dan dia langsung tidak kelihatan seperti orang yang sedang sedih.
“Apa yang saya ingin katakan dia bukan seperti yang anda sangkakan,’’ katanya. -Kedahnews.com