DAP Ajak MCA Tumbangkan Parti Melayu UMNO

KUALA LUMPUR – DAP mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan perpaduan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan menghasut MCA supaya meninggalkan parti Melayu UMNO berikutan kenyataan kontroversi seorang pemimpin MCA baru-baru ini.

Pemimpin DAP, Lim Lip Eng turut menghasut pemimpin MCA segera meletakkan jawatan menteri, exco negeri, ahli majlis kerajaan tempatan dan jawatan kerajaan lain untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menumbangkan parti Melayu itu.

“Mereka yang enggan berbuat demikian wajar dilihat sebagai pengkhianat terhadap perjuangan MCA.

“Mungkin jika MCA bertindak sebagai sebuah parti-parti pembangkang dan mungkin juga parti baru Tun Mahathir (PPBM) berminat untuk bekerjasama dengan mereka untuk menewaskan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang percaya lebih baik UMNO menjadi jaguh kampung daripada menjadi seperti MCA yang mempunyai bilangan kerusi yang kecil di Parlimen.

Mohamed Nazri membuat kenyataan itu berikutan kenyataan pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian kononnya UMNO menggunakan taktik menakut-nakutkan bangsa lain bagi memenangi hati pengundi Melayu.

Mohamed Nazri menegaskan, TI tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu berana UMNO bukan sahaja menang di kawasan luar bandar, tetapi juga kerusi di bandar seperti Johor Bahru, Titiwangsa dan Setiawangsa. – Kedahnews.com