DAP Tak Mahu Sarawak Sambut 31 Ogos, Dakwa Tak Perlu

DAP mahu kerajaan negeri tidak lagi meraikan hari kebangsaan pada 31 Ogos kerana tarikh berkenaan kononnya tidak mempunyai kaitan atau kepentingan sejarah bagi negeri Sarawak dan rakyatnya.

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berkata, gesaannya itu adalah disebabkan oleh status negeri Sarawak yang hanya memperoleh status kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963.

"Tidak ada justifikasi dan alasan bagi kerajaan Sarawak membazirkan dana awam untuk terus meraikan 31 Ogos, hari Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya menyeru (Ketua Menteri) Tan Sri Adenan Satem untuk menghentikan sambutan 31 Ogos di Sarawak. Marilah kita raikan sambutan rasmi negeri pada 22 Julai dan 16 September.

"Pada masa sama, DAP Sarawak mengucapkan saudara-saudari kami di Malaysia Barat Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan," katanya lagi.

Chong berkata, Sarawak terpaksa memperuntukkan wang untuk meraikan Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos selaras dengan perlaksanaan di peringkat persekutuan dan merupakan satu "penjajahan" terhadap negeri itu oleh Kerajaan Pusat.

"Jika kerajaan negeri tidak mampu dapat autonomi untuk membuat keputusan mengenai kalendar sambutan rasminya, apa autonomi yang boleh diperjuangan kerajaan negeri untuk Sarawak?

"Ia juga menunjukkan penjajahan kerajaan persekutuan ke atas kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Selain itu Cong turut mendakwa kononnya meraikan ketiga-tiga tarikh berkenaan akan mengelirukan golongan muda Sarawak berhubung sejarah negeri itu.

Seluruh negara menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh meriah semalam, menandakan wujudnya semangat nasionalisme yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama, bangsa, budaya dan adat resam. -Kedahnews.com