Dokumentari Guru Pedalaman Ditayang Pada Hari Guru 2017 – Cikgu Det

TENOM – Satu dokumenteri mengenai perjalanan hidup guru di kawasan pedalaman bakal diterbitkan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid,

Beliau berkata Bahagian Teknologi Pendidikan kementerian akan diminta menghasilkan dokumentari itu untuk memperlihatkan kepada rakyat bagaimana guru di pedalaman berkorban untuk mendidik pelajar dalam keadaan serba kekurangan.

“Ia akan memperlihatkan mengenai kesungguhan seorang ‘hero yang tidak didendang’ dan sumbangan mereka kepada rakyat dan negara.

“Dokumentari itu akan ditayangkan sempena sambutan Hari Guru 2017,” katanya ketika berucap semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Tilis dekat sini semalam.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul dan Anggoa Dewan Undangan Negeri Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Sementara itu Mahdzir berkata pihaknya akan mencadangkan agar warga pendidik yang berasal dari kawasan pedalaman diberi peluang untuk menabur bakti dan khidmat di tempat kelahiran asal mereka.

Beliau berkata walaupun pihak kementerian mempunyai garis panduan dan peraturan bagi penempatan guru, namun ia boleh dipertimbangkan terutama melibatkan sekolah di pedalaman.

“Peraturan dan sistem ini kita yang gubal, jadi tidak salah kita ubah dasar itu (penempatan guru),” tambah beliau.

Mahdzir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk pelbagai kegunaan SK Tilis yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pekan Tenom. – BERNAMA