Seorang pengemis warga Kemboja OKU yang diselamatkan dalam Ops Bersepadu Pengemis dan Kutu Rayau |
KULIM - Taktik seorang pengutip derma warga Thailand yang berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah kedai makan bagi mengelakkan ditangkap gagal apabila gelagatnya yang mencurigakan berjaya dikesan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Ops Bersepadu Pengemis dan Kutu Rayau di Pasar Malam Taman Selasih, baru-baru ini.
Pengutip derma warga Thailand berusia lingkungan 40-an itu antara lima warga asing yang ditahan kerana mengutip derma dan menjadi pengemis.
Pegawai JKM Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, lima warga asing itu melibatkan tiga warga Thailand dan dua warga Kemboja.
Menurutnya, dua warga Kemboja berumur lingkungan 40-an yang didapati menjadi pengemis diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.
"Salah seorang warga Kemboja ini adalah orang kurang upaya (OKU) mengaku tinggal di Batu Kawan, Pulau Pinang dan dihantar rakannya ke sini untuk mengemis," katanya.
Katanya, tiga warga Thailand yang menggunakan taktik mengutip derma untuk pembinaan madrasah di negara jiran itu pula dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat tiga warga Thailand ini mengenali antara satu sama lain dan kita percaya mereka menjalankan aktiviti itu sejak 2014 lagi, begitu juga dengan dua warga Kemboja tersebut.
“Kita juga percaya mereka menjalankan aktiviti berkenaan di semua pasar malam di daerah ini," katanya.
Tambahnya, dalam operasi itu pihaknya merampas lebih RM300 daripada kelima-lima mereka yang dipercayai melakukan aktiviti tidak sampai sejam.
Dalam pada itu, Mohamad Zarir berkata, bagi membanteras aktiviti tersebut, JKM juga mengedarkan risalah kepada orang ramai bagi mengelakkan mereka ditipu sindiket atau individu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan mengemis.
“Memang rakyat di negara ini sangat pemurah, namun kita tak mahu ada pihak yang mempunyai kepentingan sendiri ambil kesempatan dengan mencari jalan mudah untuk dapatkan wang,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, mereka kadangkala tertipu dengan pengutip derma dari negara jiran ini apabila turut menghulurkan pertolongan menyediakan tempat untuk menjalankan aktiviti itu.
“Kadangkala kami turut tolong mereka kerana sangkanya mereka ini orang tempatan dan memang perlukan dana untuk bina madrasah. Jadi dengan adanya maklumat yang disebarkan JKM melalui risalah ini kami akan lebih berhati-hati membantu,” katanya.
Operasi hampir sejam itu melibatkan 26 pegawai JKM, tiga anggota Jabatan Imigresen, lima penguatkuasa Majlis Perbandaran Kulim, empat pegawai dari Pejabat Agama Kulim dan tiga anggota polis.
Sumber: Sinar Harian