Personaliti radio popular tanahair, Fara Fauzana Mohd Fadzil semalam mengejutkan ramai pihak apabila mengeluarkan kenyataan telah membatalkan majlis pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini.
Dalam kenyataan tersebut kira-kira 13 hari sebelum majlis akad nikahnya yang direncana sebelum ini, selebriti berusia 36 tahun itu memberitahu keputusan itu dibuat atas alasan peribadi yang tidak dinyatakan.
“Jujur saya akui, keputusan untuk membatalkan pernikahan ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk saya ambil.
“Namun setelah memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya, juga memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT serta membincangkan perkara ini bersama kedua orang tua dan keluarga terdekat saya, saya tekad untuk tidak meneruskan pernikahan dan percaya bahawa keputusan ini adalah yang terbaik,” katanya memetik kenyataan media tersebut.
Terdahulu, pada 1 Ogos lalu, Fara menerusi satu sidang media mengumumkan tarikh pernikahannya yang bakal berlangsung pada 17 September ini dengan seorang jejaka berasal dari Shah Alam yang dikenali sebagai Hafiz. –Kedahnews.com