Ahmad (kiri) merasmikan Program My Best Buy Aidiladha di Pakar Kuala Kedah, semalam. |
KUALA KEDAH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan bekalan daging untuk keperluan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara mencukupi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, tidak timbul isu bekalan melebihi daripada permintaan mahupun banyak daging yang tak habis dijual kepada pengguna pada musim perayaan.
“Bekalan cukup... hari ini baru Sabtu, esok belum lagi raya. Saya pasti permintaan akan bertambah esok (hari ini). Biasanya untuk bekalan raya jarang tak laku.
“Orang tetap akan cari keperluan raya misalnya daging dan ayam. Kalau di Kedah ini daun palas dan santan yang mendapat sambutan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program My Best Buy Aidiladha di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Kuala Kedah, semalam.
Menurutnya, tidak timbul isu bekalan daging tidak laku atau tidak habis dijual khusus menjelang Hari Raya Aidiladha.
“Saya tak nampak ada masalah, mereka boleh simpan daging itu sekejap untuk esok. Saya tak dapat maklumat mengatakan banyak daging tak habis dijual pada musim perayaan ini.
“Biasanya pada musim perayaan memang ramai orang beli, tak ada lagi daging yang masih tergantung.
Peniaga juga ada kaedah-kaedah penyimpanan tersendiri, esok masih boleh jual daging itu,” katanya.
Ahmad berkata, masalah mungkin berlaku sekiranya pengguna lewat membeli daging apabila bekalan sudah habis.
Ditanya sama ada bekalan daging kurang mendapat sambutan kerana ramai menunggu daging korban, beliau tidak menafikannya.
“Bukan semua orang baut korban, tapi tradisi untuk menikmati juadah hari raya mesti kena ada. Maksudnya sehari sebelum raya perlu buat ketupat, kari ayam dan daging.
“Selalunya kerajaan bimbang kalau tak cukup bekalan daging, itu sahaja. Tapi sekarang Alhamdulillah, bekalan mencukupi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian