Fauziah Latiff Menang Persembahan Terbaik Artis ASEAN

Penyanyi yang masih popular dengan lagu "evergreen"nya, Teratai Layu Di Tasik Madu, Fauziah Latiff atau Jee mencipta sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Master Class ASEAN 2016 menerusi kategori Persembahan Terbaik Artis.

Anugerah yang diterimanya itu adalah bersempena acara ASEAN Outstanding Business Award 2016 yang diadakan di Genting Highlands, Pahang pada 9 September lalu.

Menurut Jee kepada laman BH Online, setelah tiga dekad menyinari industri seni tanah air, anugerah peringkat serantau itu merupakan pengiktirafan terbesar dalam kerjayanya.

Trofi yang dimenangi pada malam itu ditujukan kepada semua insan yang banyak menyokong dan membantunya untuk terus bertapak dalam industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, saya panjatkan syukur atas penganugerahan ini. Dalam erti kata lain, ia pengiktirafan daripada pihak terbabit terhadap kerjaya seni saya yang berlangsung selama tiga dekad.

“Anugerah ini ditujukan buat arwah bapa yang selama ini banyak membantu saya untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya.

“Mungkin ramai yang sudah sedia maklum akan kesungguhan arwah bapa untuk memastikan saya berada pada kedudukan sekarang,” jelas Jee ketika dihubungi laman itu.

Tambah penyanyi berusia 45 tahun ini, anugerah itu secara tidak langsung menjadi pembakar semangat bagi dirinya untuk terus memberikan yang terbaik buat penyokong-penyokongnya terutama sekali para peminatnya.

Perkembangan terbaharu Jee, dia baru sahaja keluarkan single terbaru iaitu Takdir Cinta yang menjadi lagu tema bagi drama bersiri Seindah Takdir Cinta yang ditayangkan di salah sebuah rangkaian Media Prima baru-baru ini. – Kedahnews.com