PERBEZAAN pandangan dalam memahami sesuatu perkara adalah fitrah semula jadi. Hal itu jelas diungkapkan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 213. Atas fitrah inilah sejarah manusia menyaksikan pelbagai aliran pemikiran terus menerus terbentuk termasuk dalam memahami agama.
Menelusuri sejarah perkembangan cabang ilmu agama, maka kita akan mengakui bahawa agama ini sangat kaya dengan ilmu yang telah diterokai oleh para ulama terdahulu.
Munculnya ramai ulama sejak perkembangan Islam ketika itu memberi isyarat akan banyaknya pandangan berbeza yang mungkin akan bercanggah.
Secara tidak langsung, isu khilaf ini juga berkembang sejajar dengan perkembangan ilmu ke seluruh pelosok dunia.
Hal sedemikian akhirnya menjadi penyumbang kepada kemunculan beberapa blok ilmu Islam yang secara umumnya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Madrasah Hijaz dan Madrasah Iraq di mana masing-masing mempunyai manhaj pemikiran yang tersendiri.
Ternyata khilaf dalam kepelbagaian pemikiran dan pandangan para cendekiawan dan ulama terdapat sudut positif. Ini melambangkan tahap intelektual generasi Islam yang pernah dicapai. Variasi dan kepelbagaian pandangan membawa kepada penerokaan ilmu Islam yang amat luas.
Proses kritis dan analitik setiap hujah menjadikan medan ilmu sentiasa segar sehinggalah tahap hujah yang dikemukakan menyebabkan ilmuwan lain berpuas hati.
Demikianlah gambaran khilaf dalam kalangan ahlinya, menjadikan ia satu persaingan ilmu yang amat sihat.
Para cendekiawan ini juga tidak jemu-jemu berkarya dan menghasilkan kitab-kitab bagi memastikan ilmu serta hujah mereka dikecapi bagi pencinta ilmu.
Ada pandangan, hujah serta karya yang disanjungi dan ada pula sebaliknya. Bahkan Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berpandangan bahawa segala lautan ilmu ini sewajarnya menjadi satu ensiklopedia untuk diselami, dibongkar, digali oleh para ilmuwan mutakhir ini terutamanya mencari jawapan kepada isu-isu dan permasalahan umat yang semakin kompleks.
Dengan perkembangan ilmu yang pesat ini pelbagai cabang ilmu telah terbentuk hasil ijtihad para ilmuwan dan ulama terdahulu antaranya ulum al-Quran dan tafsir, ilmu hadis, Usul Fiqh, qawaid fiqhiyyah dan ilmu fiqh. Sewajarnya manfaat khilaf ini perlu dioptimumkan dalam kalangan para ilmuwan dan ulama agar masyarakat awam dapat mengecapi hasilnya.
Fiqh penyatuan adalah satu seni pemikiran yang berusaha mendamaikan pandangan-pandangan yang saling bercanggah. Ia cuba untuk memanipulasikan ruang toleransi untuk bersatu pada titik kebersamaan. Ini semua menuntut kesediaan untuk berlapang dada dengan pandangan pihak lain.
Membangkitkan isu khilaf dalam kalangan bukan pada ahlinya adalah satu keganjilan kaedah fiqh penyatuan ini kerana ia mampu menyemarakkan fitnah ke atas umat ini. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menegaskan bahawa perpecahan umat ini mesti dilihat sebagai salah satu perancangan licik dan tipu daya daripada musuh Islam.
Sewajarnya fiqh penyatuan ini diterapkan dalam silibus pendidikan Islam masyarakat kita. Akibat daripada pendedahan isu khilaf yang berterusan menyebabkan masyarakat lupa bahawa mereka mungkin berada dalam radar tipu muslihat musuh Islam.
Hal ini bertambah buruk apabila para ulama pula tidak berperanan sebagai agen penyatuan umat sebaliknya lebih gemar mengumpulkan para peminatnya yang saling memberi komen negatif sesama lain.
Fiqh penyatuan ini mendedahkan beberapa kaedah dan pendekatan bijak yang bukan hanya melihat fakta ilmu sahaja tetapi ia satu kemahiran untuk menjadikan seseorang itu ideal menelusuri arus dan kehendak masyarakat.
Praktikalnya memerlukan kepada kecerdikan dan kebijaksanaan kita dalam menimbang pelbagai isu dan situasi semasa.
Umat Islam kini yang dilihat sedang dibantai dari pelbagai sudut seharusnya memandang bahawa ukhuwah itu sebagai matlamat utama masa kini bukan lagi sibuk menuding jari bertengkar isu-isu remeh dan kecil.
*DR. HARUN BAHARUDDIN ialah Pensyarah di Jabatan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia/Utusan