Gadis Mangsa Simbahan Asid Gegarkan NYFW

SEORANG mangsa serangan asid dari India menerima pujian netizen apabila berani tampil di pentas peragaan fesyen berprestij, Minggu Fesyen New York (NYFW) beberapa hari lalu.

Reshma Qureshi, 19, diundang ke acara berkenaan bagi menjayakan kempen #EndAcidSale yang bertujuan untuk memerangi penjualan asid secara haram di India.

Menurut Reshma kepada sebuah portal berita antarabangsa, peluang yang diperolehnya itu merupakan satu detik indah dalam hidupnya.

Dalam acara gilang-gemilang itu, Reshma memakai baju gaun labuh berwarna putih dengan corak tribal rekaan Archana Kochhar dari India.

Kemunculannya di pentas itu nyata memukau ramai penonton yang hadir.

“Ia merupakan satu pengalaman yang bagus. Saya benar-benar merasakan pengalaman ini telah merubah kehidupan saya,” katanya.


Di samping itu, dia juga berharap kemunculannya di pentas NYFW dapat membawa mesej positif kepada mangsa yang turut menerima nasib sepertinya.

“Kenapa kita tidak berhak untuk menikmati kehidupan. Apa yang terjadi kepada kita bukan salah kita.

“Kita tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan itu kita harus bergerak ke depan meneruskan hidup,” katanya.

Selain mendapat perhatian di NYFW, Reshma turut popular di YouTube menerusi kempen video ‘Make Love Not Scars’.

Video berdurasi 1 minit itu dirakam di Mumbai menampilkan Reshma memberikan tip solekan dan kecantikan. Malah video berkenaan telah ditonton lebih 1.8 juta orang sejak dimuat naik pada 2015. –Kedahnews.com