Genap 3 Tahun, Allahyarham Ustaz Azizan Dalam Kenangan


Mengimbas kembali kenangan bersama Menteri Besar Kedah yang ke-10, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak merupakan satu kenangan selama tempoh 5 tahun yang penuh dengan warna-warni.

Ketika menunggu keputusan PRU ke-12 yang lalu, Allahyarham dikatakan sedang berada di rumahnya sambil baring-baring melepaskan lelah berkempen. Sedang berehat, beliau diberitahu tentang kemenangan PAS dan diminta bersedia untuk membentuk sebuah Kerajaan Negeri.

Difahamkan, beliau tidak menyangka PAS Kedah di bawah pimpinannya turut menang pada PRU 2008 yang menyaksikan berlaku 'tsunami politik' di mana Barisan Nasional (BN) tewas di 5 buah negeri, termasuk Kedah.


Kira-kira jam 3.40 petang, hari Ahad, 9 Mac 2008, bekas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, bekas pelajar Maktab Mahmud dan pemilik ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah.

Sepanjang perjalanan beliau sebagai Menteri Besar, sudah tentu beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Azizan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan insiden pahit manis dunia politik tempatan.


Beliau dalam kepayahan selama 5 tahun sempat menabur jasa memperkemas Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang ditubuhkan Kerajaan BN Kedah sebelumnya dengan membina kampus induk tetap institusi pengajian tinggi Islam itu di Kuala Ketil.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab membina kompleks perniagaan terkemuka di tengah bandaraya Alor Setar, Aman Central, di tapak projek terbengkalai yang dikatakan tidak dapat diselesaikan sebelum ini akibat pertikaian hak milik tanah yang merumitkan proses pembangunan di situ.

Namun begitu, Allahyarham turut diuji dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan dakwaan pembalakan yang tidak mendapat kelulusan EIA di beberapa kawasan hutan simpan di Baling dan Tasik Pedu yang kemudian diarah supaya dihentikan serta merta.

Sementara itu, beberapa projek seperti penternakan ikan keli dan beberapa projek kecil lain turut diheret mencetus kontroversi di kalangan rakyat Kedah ketika itu.

Ketika beliau menjadi Menteri Besar, kebanjiran pusat-pusat judi haram dan urut secara haram turut tumbuh bak cendawan selepas hujan, mencetus masalah imej pentadbirannya yang berkonsepkan Islam. Akibat terlepas pandang pihak berkuasa dan pemimpin tertentu, kerajaan pimpinannya dikatakan semakin lemah.

Meskipun begitu, difahamkan masalah-masalah yang timbul itu dikatakan adalah berpunca dari pihak dalaman tertentu yang cuba melakukan 'sabotaj' terhadap kepimpinan beliau. Namun tiada sebarang bukti dikemukakan untuk membuktikan dakwaan tersebut.


Kemuncaknya, berlaku kontroversi dalaman PAS yang membabitkan pergolakan dan perebutan kuasa bagi jawatan Menteri Besar melibatkan dirinya dengan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Phahrolrazi Zawawi.

Difahamkan Phahrolrazi mendesak Ustaz Azizan supaya melepaskan jawatan Menteri Besar dengan memberi alasan masalah kesihatan Allahyarham yang didakwa tidak sesuai lagi untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri.

Kemelut tersebut mendapat perhatian PAS Pusat yang bertindak menghantar wakil bagi menyelesaikan masalah itu. Menurut sumber rapat Allahyarham, difahamkan bahawa Ustaz Azizan lebih rela menyerahkan kembali kuasa Kerajaan Negeri kepada UMNO berbanding melepaskan Kedah kepada salah seorang pemimpin PAS Kedah ketika itu.

Ketika itu juga hangat diperkatakan tentang kenyataan yang menyifatkan Allahyarham hanya "berjalan menggunakan 3 silinder" dan kenyataan itu telah mencetus kemarahan ramai pihak yang tampil membela bekas Pesuruhjaya PAS Kedah tersebut.

Ditambah pula dengan desakan Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang senada dengan Phahrolrazi dan mahu Ustaz Azizan melepaskan jawatan, ia memberi tekanan kepada Adun Sungai Limau itu di akhir penggal pentadbirannya.


Namun mengejutkan di saat-saat akhir hayatnya itu, Ustaz Azizan dikatakan semakin rapat dan mesra dengan sahabat lamanya, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Malah detik-detik kemesraan dua pemimpin berlawanan parti itu sempat dirakam di sebuah program di mana Ahmad Bashah memimpin tangan dan mengiringi Ustaz Azizan hampir di sepanjang program berkenaan.

 Pada Ogos 2011, Ustaz Azizan pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Manakala pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kakinya. Beliau dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei.


Namun Allah SWT lebih sayang padanya. Kira-kira jam 11.15 pagi, 26 September 2013, setelah menderita selama beberapa bulan, Al-Fadhil Ustaz telah pergi meninggalkan kita untuk selamanya, bersama 1000 kenangan suka duka yang terpahat di memori seluruh rakyat Kedah.

Puluhan ribu telah hadir mengiringi jenazah beliau ketika dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang pada hari yang sama, di mana jasadnya tenang bersemadi di tanah perkuburan Islam Muasasah Darul Umum, Pokok Sena.


Turut hadir di majlis pengkebumian beliau ketika itu adalah bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Dato' Dr Haron Din Al-Hafiz, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan beberapa kenamaan lain.

Pemergian beliau ditangisi oleh rakyat Kedah dan disifatkan sebagai kehilangan seorang tokoh yang dihormati serta disegani kawan dan lawan. Al-Fatihah untuk Allahyarham Tan Sri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak. Sejahteralah dirimu di sana... - Kedahnews.com