Gerakan Jangka DAP Akan Tetap Adakan Pilihan Raya Mengejut

MELAKA - Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong mendakwa DAP akan mempergunakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ditadbir pembangkang.

Beliau berkata sekiranya DAP mengambil tindakan seperti itu, ia merupakan penyalahgunaan terhadap kepercayaan rakyat di negeri terbabit dan tidak sepatutnya dibuat oleh sebuah parti yang dipilih oleh rakyat.

Katanya sebelum ini DAP Pulau Pinang menyatakan hasrat mengadakan pilihan raya mengejut sekitar bulan Ogos lepas dengan pelbagai alasan yang akhirnya ditolak rakan sekutunya PKR dan tidak mustahil DAP mahu menimbulkan semula hasrat itu kali ini dengan menjadikan cadangan persempadanan semula sebagai alasan.

"Jika DAP tetap berkeras mahu adakan pilihan raya mengejut, jentera Gerakan sentiasa bersedia untuk menghadapinya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Teknologi Agrikultur Antarabangsa Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini semalam.

SPR sedang mempamerkan peta lengkap berkaitan cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya untuk proses bantahan bermula 15 Sept lepas sehingga 14 Okt depan.

Sebelum ini, DAP mencadangkan kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR mengadakan pilihan raya negeri bagi membantah proses persempadanan semula SPR di negeri itu yang didakwa berat sebelah, namun cadangan itu ditolak Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, mengenai cadangan Dun Bachang di sini dikeluarkan daripada kawasan Parlimen Bukit Katil dan diletakkan dalam Parlimen Kota Melaka, Mah berkata Gerakan akan mengemukakan bantahan terhadap cadangan itu.

Beliau berkata bantahan itu dibuat antara lain kerana jumlah pengundi di Dun itu akan berkurangan kepada 23,000 pengundi berbanding 28,000 sebelum ini berikutan hanya 13,000 pengundi asal akan tinggal manakala 10,000 pengundi baharu akan ditambah.   

Pada pilihan raya umum ke-13, Lim Jak Wong daripada DAP menewaskan calon BN, Chua Lian Chye daripada Gerakan dengan majoriti 2,672 undi. - Bernama