Gorilla Kini Spesis Terancam, Panda Keluar Senarai


HONOLULU – Usaha pemuliharaan di China selama berdekad-dekad sudah membuahkan hasil bagi panda, yang sebelum ini berstatus ‘terancam’ namun kini ditukar kepada ‘perlu dilindungi’ akibat jumlahnya makin bertambah.

Peningkatan panda  atau nama saintifiknya Ailuropoda melanoleuca diumumkan sebagai sebahagian daripada pengemaskinian kepada Senarai Merah oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berpusat di Hawaii, Amerika Syarikat.

Ia melibatkan inventori menyeluruh status tumbuhan dan haiwan di dunia. Perangkaan terkini menunjukkan ada sebanyak 1,864 panda dewasa. Meskipun tiada jumlah yang tepat, jika dirangkumkan jumlah anak panda, ini bermakna terdapat sekitar 2,060 panda sekarang.

“Bukti daripada beberapa siri tinjauan nasional yang meluas menunjukkan bahawa jumlah panda yang semakin berkurangan sudah dapat dikawal dan jumlah terbaharu sebenarnya sudah pun semakin meningkat,” menurut laporan diterbitkan oleh IUCN baru-baru ini.

Antara tindakan penting pemerintah China bagi menambah jumlah beruang hitam putih yang menjadi ikon negara itu termasuk usaha-usaha gigih menanam semula hutan buluh, sekali gus menyediakan bekalan makanan dan tempat perlindungan cukup bagi panda.

Menerusi program pembiakan dalam jagaan ‘rent-a-panda’, China juga meminjamkan beberapa panda kepada banyak pihak taman haiwan di luar negara sebagai pertukaran antara zoo untuk mendapatkan wang dan melabur semula wang tersebut bagi usaha pemuliharaan.

“Dalam keadaan terdesak, pemerintah China sudah melakukan yang terbaik dengan panda,” kata seorang ahli primatologi yang juga ketua pegawai pemuliharaan di Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar, John Robinson memberitahu agensi berita antarabangsa AFP.

“Amat sedikit spesis yang disenaraikan, ia menggambarkan kejayaan pemuliharaan tersebut,” kata beliau pada Kongres Pemuliharaan Dunia IUCN, mesyuarat terbesar seumpamanya, yang menarik lebih 9,000 tokoh negara, penggubal dasar dan pakar alam ke sini.


Menurut Pengerusi Suruhanjaya Kehidupan Spesis IUCN, Simon Stuart, berita mengenai peningkatan panda itu bukanlah ‘sukar untuk difahami’ namun ia datang menerusi kerja keras mengawal pemburuan haiwan secara senyap dan juga menanam semula hutan buluh.

“Ini sesuatu yang perlu diraikan kerana ia bukan di bahagian dunia di mana kita menjangkakan ini boleh berlaku,” Stuart memberitahu sekumpulan wartawan dalam satu sidang media khas bagi mendedahkan Senarai Merah yang sudah dikemas kini oleh IUCN.

Para pakar antarabangsa bagaimanapun, memberi amaran bahawa khabar gembira itu mungkin buat seketika saja. Pemanasan bumi, yang dipacu oleh pembakaran bahan api diramal akan menghapuskan lebih sepertiga hutan buluh panda dalam masa 80 tahun mendatang.

Ini bermakna, jumlah panda dijangka mungkin boleh berkurangan semula tanpa disangka dan sebarang penambahan yang perlu dilakukan sehingga kini boleh juga berubah, menurut Penyelaras Penilaian Mamalia di Universiti Sapienza Rome, Itali, Carlo Rondinini.

“Kebimbangan kini adalah meskipun jumlah panda perlahan-lahan bertambah – ia masih jumlah yang kecil – beberapa model meramalkan pengurangan hutan buluh di China dalam beberapa puluh tahun mendatang akibat perubahan iklim,” beliau memberitahu para wartawan.

IUCN bagaimanapun turut melaporkan rancangan pihak pemerintah China untuk memperluaskan lagi usaha-usaha pemuliharaan bagi panda ‘adalah langkah positif dan mesti disokong sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaannya sebagai berkesan’.

Senarai Merah IUCN itu merangkumi sejumlah 82,954 spesis hidupan, termasuk segala jenis tumbuhan dan haiwan di planet Bumi pada masa ini. Hampir sepertiga atau 23,928 spesies flora dan fauna disenaraikan sebagai terancam pupus, menurut kenyataan IUCN lagi.

Sementara itu, IUCN menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan jumlah gorila gergasi atau juga dikenali sebagai gorila Grauer yang diancam kepupusan serius. Spesies terbabit kebiasaannya ditemui di kawasan pergunungan di Republik Congo, Rwanda dan Uganda.

Namun siri peperangan saudara yang berlaku di hutan wilayah bergolak terbabit menyebabkan populasi gorila tersebut semakin menurun drastik dengan anggaran 77 peratus sejak 1994 atau penurunan dari 16,900 ekor gorila kepada 3,800 ekor sahaja pada 2015 lalu.

“Sejak 20 tahun, populasi spesies Grauer terjejas teruk akibat aktiviti manusia termasuk jadi mangsa pemburuan haram. Penurunan mendadak hampir tiga kali ganda meletakkan gorila ini dalam senarai kepupusan paling kritikal,” jelas IUCN. – Agensi