Hanya 6 Dari 30 Ibu Dijangkiti Zika Lahir Anak Normal

ENAM daripada 30 wanita hamil atau hanya kira-kira 20 peratus yang disahkan sebagai dijangkiti virus Zika di Thailand; selamat melahirkan bayi masing-masing tanpa sebarang kecacatan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand. Bagaimanapun nasib 24 orang lagi wanita hamil yang dijangkiti virus tersebut tidak pula didedahkan kepada umum.

Sementara itu, Thailand juga mengesahkan 21 kes baharu jangkitan Zika dilaporkan berlaku di Bangkok termasuk seorang ibu hamil yang melahirkan anak tanpa sebarang komplikasi.

Manakala, penduduk negara itu juga dinasihati tidak khuatir berikutan Sathorn, lokasi tumpuan ramai pegawai warga asing dan daerah perniagaan; apabila ia diserang penyakit bawaan nyamuk tersebut.

“Daripada 21 kes yang disahkan di Sathorn, terdapat seorang wanita hamil yang pulih dan melahirkan anaknya dengan sihat.

“Ibu dan bayi itu kini selamat,” kata jurucakap kementerian Suwannachai Wattanayingcharoencha.

Tambahnya, suami kepada wanita berkenaan dilaporkan baru pulang dari Singapura.

Agensi berita Reuter menerusi laporannya mendakwa Thailand cuba memperkecilkan risiko kesihatan bawaan nyamuk itu kerana bimbang ia boleh menjejaskan teruk jumlah kedatangan pelancong asing.

Maklumat terbaharu jangkitan Zika di negara itu juga tidak dikemas kini sejak hujung bulan lalu, selepas Singapura merekodkan peningkatan jumlah jangkitan tempatan sehingga 333 kes setakat semalam.

“Maklumat mengenai Zika agak sensitif kerana jika kami namakan wilayah yang mengalami jangkitan, nanti perhatian akan diberikan kepada wilayah tersebut, dan jika wilayah itu popular dengan pelancong, ia akan menjejaskan pelancongan,” kata pakar wabak kementerian, Anuttarasakdi Ratchatatat.

Kementerian kesihatan Thailand dalam satu kenyataannya pula berkata, rakyat di negara itu tidak perlu gusar kerana virus itu tidak menyebabkan kematian atau berjangkit — walau virus itu boleh disebarkan melalui seks.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDPC) memberi amaran Zika makin menular di Thailand. –Kedahnews.com