Harga Dokong Di Baling Bawah RM1 Sekilo

Samsudin Md Rejab (kiri) menunjukkan buah dokong yang dijualnya.
BALING - Rata-rata pemilik kebun buah dokong di daerah ini terpaksa berpuas hati dengan harga yang dijual kepada pembekal di bawah paras RM1 sekilogram.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati ada peniaga terpaksa menghentikan penjualan buah dokong kerana tidak menguntungkan.

Pekebun, Mohd Zuki Ahmad, 50, dari Kampung Tandop Pisang berkata, penjualan buah dokong terpaksa dihentikan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, pemborong tidak lagi mengambil buah daripadanya akibat paras harga yang terlalu rendah.

“Sudah seminggu saya tidak menjual buah dokong kerana harga terlalu rendah, sekilogram buah hanya cecah 50 hingga 60 sen sahaja.

“Lambakan buah saya sedekahkan sahaja kepada masyarakat dan surau,” katanya.

Berbeza dengan tahun lepas katanya, harga buah kekal stabil hingga akhir musim.

“Tahun lepas pengeluaran buah sama banyak macam tahun ini, tetapi saya dapat jual dari awal hingga akhir musim RM2.60 sekilo.

“Permintaan buah dari pelanggan tinggi tahun lepas, buah pun saya terpaksa ambil dari luar daerah ini,” katanya.

Bagi Samsudin Md Rejab, 45, pula, dua bulan lalu harga dokong mencecah RM 1.80 hingga RM3 bagi sekilogram.

Namun katanya, situasi kini berbeza apabila buah terpaksa dijual kepada peniaga di bawah RM1 sekilogram.

“Terpaksa jual dengan harga 80 sen sekilo sebab buah terlampau banyak,” katanya.

Selain menjual kepada peniaga, Samsudin turut menjual sendiri buah berkenaan dengan gerai yang dibuka di tepi jalan.

Menurutnya, bagi menambah pendapatan dia turut menjual buah-buahan lain.

“Nak harap dokong sahaja tidak boleh, jadi saya turut jual cempedak, durian dan buah naga,” katanya.

Manakala, pekebun, Abdul Manan Ibrahim, 58, dari Kampung Binjul Dalam berkata, harga buah dokong di negeri lain didapati dijual dengan harga tinggi.

Menurutnya, orang tengah disyaki memanipulasikan harga.

“Di Pulau Pinang mereka jual mencecah RM5 hingga RM6 untuk dua kilogram.

“Malah saya difahamkan adik saya di Johor yang pasaran buah dokong di sana berkurangan, sepatutnya buah boleh ditolak dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan di bawahnya disarankan mempromosikan buah dokong keluaran Baling dan Sik.

“Kedua-dua daerah ini pengeluar dokong terbanyak, saya saran buat satu minggu jualan buah dokong, cara ini mampu tarik kunjungan penggemar buah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Fama Daerah Baling, Mohd Fuad Jaafar berkata, di luar bidang kuasa Fama bagi mengawal peraih yang membeli dengan harga terendah.

“Bagi peraih yang beli pada harga rendah, kami tidak dapat nak kawal.

“Jadi apa yang Fama boleh buat sekarang ini, kami beli pada harga RM3 pada peringkat awal walaupun pengeluarannya banyak ketika itu.

“Tetapi bila keadaannya memuncak, Fama beli pada harga paling terendah iaitu RM1.50 sekilogram,” katanya.

Sumber: Sinar Harian