Hari Arafah: Hayati Wasiat Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

PADA hari wuquf terakhir Rasulullah SAW, ajaran Islam disempurnakan melalui penurunan Surah al-Maidah, ayat ketiga. - GAMBAR HIASAN
BULAN Zulhijah merupakan bulan terakhir dalam kalendar umat Islam. Ia merupakan antara empat bulan suci dalam Islam berdasarkan maksud ayat ke-36, surah at-Taubah :
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan dihormati (iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah)”.
Padanya terdapat hari Arafah, iaitu hari kesembilan yang menjadi penentu dan syarat kelangsungan ibadah haji. Umat Islam yang menunaikan haji akan berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadah wuquf (berhenti seketika) di samping mendengar khutbah sebelum menunaikan solat zuhur, asar dan berdoa serta berzikir mengingati Allah SAW pada hari tersebut hingga terbenam matahari.

Arafah bermakna ‘pengenalan dan tanda’ bersempena nama sebuah bukit yang terletak 19 kilometer dari Mekah. Diriwayatkan bahawa di situlah tempat pertemuan antara Nabi Adam a.s. dengan isterinya Hawa setelah diperintahkan turun dari syurga ke bumi.

Hari perhimpunan para jemaah haji tersebut merupakan hari termulia di sisi Allah SWT. Ini dijelaskan oleh maksud sabda Rasulullah SAW:
“Semulia-mulia hari adalah hari Arafah” - Riwayat Ibn Hibban.

“Pada hari tersebut Allah SWT menyatakan kebanggaan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya yang sedang menunaikan ibadah wuquf dan mengampuni dosa kesalahan mereka,” - Riwayat Muslim.
PENYEMPURNAAN ISLAM

Pada hari itulah pada zaman Rasulullah SAW diturunkan pengiktirafan terhadap agama Islam yang menjadi anutan seluruh manusia dan menolak segala bentuk ideologi anutan selainnya:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam menjadi agama kamu,” (Surah al-Maidah 3).
Penyempurnaan agama bermaksud keseluruhan ibadah yang difardukan di dalam Islam termasuk amalan haji telah dilakukan dengan sempurna pada hari tersebut kerana ia telah dikembalikan bersih daripada unsur-unsur syirik (penyembahan selain daripada Allah SWT) sebagaimana yang disyariatkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji pada bulan ini, mereka amatlah digalakkan untuk melaksanakan puasa sunat pada hari Arafah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Puasa hari Arafah, ku mengharap agar Allah SWT mengampuni dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya,” - Riwayat Muslim.
Bagaimanapun, jemaah haji, tidaklah disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah ini supaya mereka memperoleh kekuatan dan tenaga dalam menyempurnakan ibadah wuquf serta melakukan amalan kebajikan lain sepanjang berada di Padang Arafah.

Marilah kita memanfaatkan nikmat kehidupan dan kesihatan kurniaan Allah SWT dalam meneruskan kesinambungan pengabdian diri kepada-Nya terutama di dalam bulan Zulhijah yang mulia ini. Waspada terhadap sebarang usaha dan gerak laku yang dilakukan oleh syaitan dan jenteranya dalam menyelewengkan kehidupan beragama kita pada zaman yang penuh dengan dugaan dan pancaroba ini.

Hanya dengan prinsip dan pengamalan kukuh terhadap pengajaran al-Quran dan hadis sahaja membolehkan umat Islam berjaya mengharungi dan mengatasi ujian di alam dunia yang menggiurkan ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan dan menunjukkan hidayah dan taufik-Nya untuk sekalian umat manusia di bumi Malaysia yang dicintai ini.

Peristiwa Rasulullah SAW berwuquf bersama 144,000 orang Islam di Padang Arafah dan menyampaikan amanat telah dilakar di dalam sejarah serta diabadikan dalam kehidupan umat Islam.

Khutbah mengandungi beberapa aspek pengajaran yang menyentuh kehidupan harian masyarakat Islam telah diungkap dan diserlahkan pada hari kesembilan Zulhijah tahun ke-10 Hijrah itu, antaranya bermaksud:
  • "Wahai manusia, dengarlah bicaraku kerana tidak ku ketahui kemungkinan aku tidak akan bertemu lagi dengan kamu selepas ini di tempat ini. Sesungguhnya darah dan harta kamu adalah terjamin dan dipelihara sepertimana sucinya hari Arafah ini, mulianya bulan Zulhijah dan negeri Mekah ini.
  • "Ketahuilah bahawa semua pekerjaan dan urusan zaman jahiliah (sebelum perutusan baginda menjadi Nabi) berada di bawah tapak kakiku, ia tidak berharga, begitu juga tuntutan penumpahan darah jahiliah juga tiada nilainya (tidak akan diuruskan). Urusan riba jahiliah tidak dibenarkan sekali-kali (tiada tuntutan bagi mendapatnya kembali).
  • "Takutlah (azab) Allah dalam (menjalankan urusan) para wanita, mereka telah (dijadikan isteri-isteri kamu) dengan amanah (tuntutan wajib daripada) Allah, dihalalkan kepada kamu kemaluan mereka (dengan menggauli mereka) dengan (melafazkan aqad nikah menggunakan) kalimah (nama) Allah. Justeru diharamkan mereka (membenarkan diri disentuh oleh) lelaki lain, jika mereka langgar larangan tersebut maka kamu pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan (untuk memberi pengajaran sahaja), namun demikian kamu tetap berkewajipan memberikan mereka makanan dan pakaian dengan cara yang baik.
  • "Ku tinggalkan bagi kamu (untuk diamalkan), kamu tidak akan sesat jika berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah (al-Quran). Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan tiada lagi umat (yang bakal datang) selepas kamu. Abdikan diri kamu kepada Allah Tuhan kamu, dirikan solat lima waktu (yang difardukan) itu, kerjakan puasa sebulan (Ramadan), keluarkan zakat harta kamu, dengan rasa reda dari hati sanubarimu, tunaikan ibadah haji di Baitullah, taatilah pemimpin-pemimpin kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhanmu.
  • "Kamu akan menemui Tuhanmu (meninggal dunia), maka pasti ditanya tentang amalanmu. Janganlah kamu kembali berada di dalam kesesatan selepas kewafatanku yang menyebabkan sebahagian kamu memerangi (membunuh) sebahagian yang lain.
  • "Ketahuilah bahawa orang yang melakukan jenayah dan kesalahan, ia pasti ditanggung oleh pelakunya sendiri (bukan orang lain), begitu juga, kesalahan bapa tidak akan ditanggung oleh anaknya dan bapa juga tidak akan menanggung kesalahan anaknya. Sesungguhnya syaitan tidak dapat memurtadkan kamu di dalam negeri (Mekah) ini tetapi dia tetap terus mencuba untuk menundukkan kamu supaya mentaati perintahnya walaupun dalam sekecil-kecil perlakuan sehingga dia gembira dengan kejayaannya itu,” 
Sumber: Rahiq Makhtum/Utusan