ALOR SETAR - Bekas Pegawai Khas Politik kepada Dato' Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan beliau pernah merayu kepada bekas Menteri Besar Kedah itu supaya bersemuka dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai isu 1MDB.
Haris Che Mat berkata, adalah tidak wajar ketika itu Mukhriz memburuk-burukkan imej Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dengan hanya mengutip laporan yang meragukan pihak luar ekoran ia boleh mengelirukan ramai pihak, khususnya ahli serta penyokong UMNO.
"Mukhriz ketika itu menjaja cerita buruk tentang 1MDB di depan ahli dan penyokong UMNO, sedangkan dia merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar mewakili BN.
"Dia kutip sumber luar seperti Sarawak Report dan Wall Street Journals (WSJ) sedangkan sumber itu sangat meragukan dan mengelirukan.. tiada kredibiliti untuk dipercayai sahih.
"Kerana itu, saya meminta jasa baik Mukhriz selaku Pengerusi UMNO Negeri dan Menteri Besar untuk bertemu secara empat mata dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai 1MDB.
"Tak adil jika dengar dari satu dua sumber asing yang meragukan saja, patutnya sebagai Ketua UMNO Negeri, dia patut jumpa untuk dapatkan maklumat sebenar, bukan hentam secara terbuka depan orang UMNO.
"Apa agenda dia buat begitu? Nak jatuhkan institusi Presiden UMNO dan ambil jawatan tertinggi UMNO? Itu cara kotor.. tak eloklah begitu," katanya menceritakan insiden berkenaan yang dikatakan berlaku sejuru selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri ketika Mukhriz masih lagi menjadi Menteri Besar.
Walau bagaimanapun katanya, Mukhriz enggan bertemu dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika itu dan masih terus memburuk-burukkan imej 1MDB di khalayak ramai hingga mencetus persepsi negatif terhadap Presiden UMNO.
Tegasnya lagi, Mukhriz patut tahu bahawa tindakannya itu adalah bersalahan dengan peraturan parti dan ia mampu menyebabkan tindakan disiplin diambil terhadapnya, seperti yang berlaku di zaman bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, dulu.
"Tapi lepas Ketua-Ketua Bahagian desak Presiden untuk ambil tindakan pada Mukhriz, baru dia mahu jumpa Najib di Langkawi? Sudah terlambat..," ujarnya kepada Kedahnews.com.
Haris Che Mat yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena sebelum ini menggemparkan ramai pihak apabila mengaitkan Mukhriz dalam satu cubaa mensabotaj IPO syarikat 1MDB dalam usaha menjejaskan imej Najib.
Dia juga telah mencabar anak bekas Perdana Menteri itu supaya bersumpah di depan Al-Quran sekiranya cuba menafikan dakwaannya sebelum ini mengenai sabotaj IPO milik 1MDB itu selain memasang angan-angan menjadi Perdana Menteri 'segera'. -Kedahnews.com