Haron Din Pesan Kebumi Di AS Jika Meninggal Dunia

KANGAR – Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din meninggalkan pesan kepada anggota keluarga dan rakan seperjuangannya di negeri ini bahawa beliau mahu dikebumikan di Amerika Syarikat jika ditakdirkan meninggal dunia di sana.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata pesanan itu disampaikan Haron di Pusat Rawatan Darussyifa di Santan, di sini sebelum beliau berlepas ke Amerika Syarikat pada 10 September lepas.

“Allahyarham berpesan demikian sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini memandangkan ini merupakan kali keenam beliau menjalani rawatan jantung,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shukri berkata PAS Perlis akan mengadakan solat jenazah ghaib di Kompleks PAS Perlis di Jalan Stadium Utama, Kangar malam ini.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. –Kedahnews.com