Henti Retorik "Tarik Tali", Pemuda Kedah Cabar Mukhriz Dedah Ahli Sertai PPBM

ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Mahathir digesa supaya menghentikan retorik politik bermain "tarik tali" sedangkan parti baru itu sedang terkial-kial mencari rentak dan gagal menarik sokongan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Mukhriz hanya pandai mendakwa kononnya ada ahli UMNO yang berjawatan besar dalam parti yang menyertai partinya, namun masih gagal membuktikan kebenaran dakwaannya itu.

"Tak payahlah bermain 'tarik tali'... Konon ada ahli UMNO yang berjawatan masuk partinya, tapi dia rahsiakan? Berterus terang sajalah parti setahun jagungnya itu gagal raih sokongan ramai.

"Jika benar kata-katanya, saya cabar dia dedahkan siapa ahli UMNO berjawatan yang dia maksudkan itu," katanya melontarkan cabaran terhadap anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, itu.

Mengulas mengenai Mukhriz yang mendedahkan dirinya akan bertanding di Kedah pada pilihan raya umum (PRU) nanti, Shaiful Hazizy menjelaskan bahawa pihaknya tidak terkejut dan sudah menjangka perkara berkenaan.

Tegas beliau, ahli-ahli dan para pemimpin UMNO di Kedah langsung tidak gentar pada kenyataan Mukhriz itu, malah ia bakal menjadikan tonik untuk memperkukuhkan kemantapan parti berlandaskan muafakat yang menyatu-padukan seluruh warga UMNO di Kedah.

"Mengenai khabar bahawa Mukhriz akan kembali bertanding di Kedah, itu memang sudah dijangka. Namun Pemuda UMNO Kedah percaya UMNO dan Barisan Nasional Negeri sedikit pun tidak 'terusik' kerana kita ada urusan sendiri yang perlu diberi tumpuan.

"Mengenai kerusi yang ingin beliau (Mukhriz) tandingi adalah hak beliau dan kita percaya rakyat dan ahli parti boleh menilai kemampuan dan keupayaan beliau," jelasnya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh kepimpinan UMNO di Kedah supaya meneruskan fokus terhadap tanggungjawab yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan tertinggi dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di negeri berkenaan.

"Kita tidak perlu takut sekadar 'digertak' dengan keahlian PPBM yang kononya bersifat 'rahsia'.

"Apa yang perlu dibuat adalah yakin dan tumpukan perhatian pada tugasan dan tanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat dan ahli parti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam mengalu-alukan Mukhriz untuk bertanding di Kedah dan menegaskan bahawa tiada siapa yang berhak menghalang Adun Ayer Hitam itu bertanding di mana-mana kerusi yang beliau mahu.

Mukhriz sebelum itu menafikan spekulasi yang mendakwa beliau akan bertanding di Putrajaya, sebaliknya akan bertanding di Kedah, namun merahsiakan kawasan yang akan dipilih untuk ditandingi nanti.

Spekulasi kini mengatakan anak Mahathir itu dijangka bertanding sama ada di Parlimen Jerlun, Kubang Pasu atau Langkawi, dan beliau turut dijangka akan cuba mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam yang dimenanginya sebelum ini atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13 yang lalu. -Kedahnews.com