KUALA LUMPUR – Dalam satu pandangan kontroversi, mantan menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, luahan komen kurang ajar terhadap ulama tidak boleh disamakan sebagai hina Islam.
Menulis dalam artikel terbaharu menerusi blognya, Zaid berkata tindakan itu juga tidak boleh dianggap sebagai perbuatan murtad kerana tiada sesiapa yang sama pangkat dengan Tuhan, lapor portal Malay Mail Online.
Beliau juga berkata meskipun mengeluarkan kata-kata menghina terhadap individu yang dianggap penting dalam masyarakat Islam adalah perbuatan kurang ajar, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah.
Zaid menulis demikian setelah seorang bekas wartawan, Sidek Kamiso, ditangkap polis pada 19 September lalu berhubung komen dibuatnya mengenai kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din baru-baru ini.
Polis menganggap komen itu sebagai menghina Islam namun Zaid yang juga peguam mendakwa, ada pelbagai ucapan dan tindakan yang boleh dianggap murtd dalam Islam, contohnya hina Allah atau Nabi Muhammad SAW.
“Tapi saya tidak rasa harus sama pemimpin PAS – waima Mufti – dengan taraf Allah atau Nabi. Jika saya kata sesuatu kurang ajar tentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang (presiden PAS) atau Nasrudin Hassan Tantawi (ketua penerangan PAS), ia bukan perbuatan murtad.
“Sesetengah orang mungkin terletak di kedudukan atas senarai individu spiritual dalam Islam jadi kami tidak harus hina mereka kerana hormat mereka secara peribadi, namun tiada sesiapa sama pangkat dengan Allah. Hina mereka tidak patut bawa dakwaan jenayah,” ujarnya.
Zaid juga ditukil Malay Mail sebagai berkata bahawa orang Islam tidak sepatutnya begitu memperbesar-besarkan para pemimpin politik mereka sehingga para pemimpin itu tidak boleh dikritik atau menerima komen kurang ajar.
“Mereka tidak sepatutnya cepat membuat kesimpulan bahawa oleh kerana sesetengah pemimpin yang tampil memakai serban kemudian dihina, maka agama Islam juga dianggap sebagai dihina.
“Apabila anda dalam politik, anda tidak dilindungi daripada penghinaan meskipun selepas anda meninggal dunia,” tulis Zaid sambil mengecam penangkapan bekas wartawan itu. – Agensi