#Islam: Aidil Adha Dan Haiwan Korban


Pada 12 September depan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Bagi menghayati erti sebenar Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam, akan melaksanakan amalan korban haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Setahun sekali umat Islam tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban ini. Ibadah ini juga sempena mengingati peristiwa agung antara Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.

Amalan ini yang dilakukan setiap tahun oleh umat Islam yang tidak dapat menunaikan haji. Kita mengerjakan amalan menyembelih haiwan ini sama ada di Malaysia atau mana-mana negara yang difikirkan sesuai.

Biasanya pada Hari Raya Korban ini kebanyakan orang Islam memilih lembu untuk dikorbankan. Sebab itu tiap-tiap tahun berpuluh ekor lembu jantan disembelih di kawasan masjid atau surau.

Menunaikan amalan berkorban ini satu hal, trend kenaikan harga lembu pun satu hal yang tidak boleh diserah sebagai takdir. Sebenarnya dalam hal ini kita mampu mengubahnya. Ibadah korban tidak patut berkurangan akibat kos yang mahal.

Semua ini bermula kerana bekalan lembu tempatan kurang dan tidak mencukupi, jadi banyak bekalan lembu diimport dari Thailand dan Australia.

Kalau tahun 2014, harga lembu import dari Thailand ialah RM2,500 seekor, dan tahun 2015 naik RM4,000 seekor, berapa harga untuk tahun 2016?

Sama dengan tahun lalu, harga lembu import meningkat antara RM4,000 hingga RM4,500 seekor bergantung kepada saiz berbanding RM2,000 hingga RM3,000 seekor pada tahun-tahun sebelumnya.

Jadi jangan terkejut jikalau beberapa tahun lagi harga lembu korban di Malaysia akan mencecah RM5,000 atau RM6,000 seekor.

Kalau pada harga RM4,000 sekarang satu bahagian lembu berharga RM600, maka kos untuk menunaikan korban akan terus meningkat. Apa tindakan kerajaan atau kementerian berkenaan dalam hal ini. Biarkan sahaja kuasa pasaran menentukan harga atau mencari jalan untuk menangani kenaikan itu? Atau berusaha mencari harga lebih murah daripada sekarang.

Oleh itu, kita merayu kepada kerajaan untuk mencari jalan bagi menangani masalah ini terutama mengelakkan daripada kebergantungan kepada lembu import. Kerajaan juga perlu mengembalikan kestabilan nilai ringgit yang menjadi antara faktor harga lembu import mahal.

Hakikatnya, kerajaan terpaksa mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun membabitkan peruntukan lebih RM1.4 bilion. Tanganilah juga masalah monopoli dalam industri pengimportan lembu ini yang menjadi punca kenaikan harga haiwan ternakan berkenaan.

Hasrat umat Islam Ma­laysia untuk menjalankan ibadah korban terutama lembu tidak patut disekat atas faktor harga.

Pada saya kerajaan ti­dak boleh lepas tangan mem­biarkan trend kenaikan harga lembu pada musim kor­ban ini berlarutan. Agak menghairankan ke­­napa harga lembu kor­­ban di Indonesia, Bang­la­desh, Kemboja dan se­­bagainya jauh lebih murah berbanding negara kita. Sebagai contoh per­bandingan antara harga satu bahagian lembu di Malaysia (RM600/ baha­gian) dengan harga di Kemboja (RM350/baha­gian).

Jika trend harga lembu ini berterusan, ki­ta boleh jangkakan pa­da masa akan datang bi­langan umat Islam di Malaysia hendak me­nunaikan ibadah kor­ban berkurangan. Sekarang pun kita boleh mendengar keluhan orang ramai yang mengeluh kerana tidak mampu untuk menampung kos satu bahagian lembu.

Harga lembu korban setiap tahun naik. Saya masih ingat untuk beberapa lama harga satu bahagian (1/7) lembu dahulu baru berharga RM250. Tetapi hanya beberapa tahun lalu harganya naik RM350, kemudian RM450, dan naik lagi RM550.

Untuk tahun 2016, kebanyakan tempat saya dapati sudah mencecah RM600 untuk satu bahagian. Maknanya untuk seekor lembu korban akan berharga: RM600 x 7 bahagian = RM4,200.

Ada yang tak kisah berapa kena bayar, yang penting ikhlas dalam mengerjakan ibadah korban. Walau bagaimanapun, harga satu bahagian lembu di sesetengah kawasan berbeza-beza disebabkan tiga faktor iaitu kos pengurusan, timbangan berat setiap ekor lembu dan logistik.

Apa yang sangat penting ialah lembu itu mengikut syarat-syarat haiwan yang boleh dijadikan korban haji. Syarat sah korban hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan.

Sebenarnya tak kisahlah berapa pun harga bagi satu bahagian lembu tersebut. Yang penting niat kita hendak melakukan ibadah korban dan akikah diterima oleh Allah SWT. Kalau kita mampu, kita sertailah mana-mana aktiviti korban dan akikah yang terdapat di kawasan kita.

Kalau rasa tak mampu nak bayar mahal, tetapi ada keazaman nak laksanakan ibadah korban dan akikah, boleh cuba cari yang murah. Sekarang nak cari yang murah tak susah, sebab kita boleh lakukan korban di negara orang yang lebih memerlukan.

Sumber: Utusan