REALITI yang berlaku kini, perbuatan maksiat tidak lagi dapat lari daripada berlaku di depan mata. Bukan sahaja di negara bukan Islam, malah majoriti penduduk umat Islam juga dilihat melakukan pelbagai amalan menyalahi perintah agama secara terbuka, langsung tanpa rasa bersalah, seakan-akan telah sebati dalam diri.
Pensyarah Madrasah Darul Uloom Zakariyya, Afrika Selatan, Sulaiman Moola berkata, Allah SWT boleh memberi balasan secara terus atau menurunkan azab kepada pelaku maksiat pada bila-bila masa sahaja, namun sengaja menangguhkannya.
Ini tambahnya, kerana sifat Halim yang ditunjukkan oleh Allah iaitu bermaksud Maha Penyantun atau Lemah Lembut kepada seluruh manusia dan makhluk lain tidak berdosa di muka bumi.
“Manusia menyekutukan Allah, tanpa rasa bersalah dan takut melakukan maksiat seakan-akan mencabar Allah. Bukan baharu, tetapi sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi, orang kafir sentiasa mencabar baginda untuk menunjukkan azab Allah sebagai bukti kenabian.
“Diceritakan, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang kafir: “Jika benar engkau seorang nabi, tuhan kamu (Allah) sudah tentu akan mengazab kami kerana sering menghina kamu. Sebaliknya, tetapi tiada apa yang berlaku atau bencana menimpa kami? Jika tuhan kamu tidak suka dengan apa yang kami lakukan, sudah tentu Dia akan mencegah kami, kenapa tidak?
“Lalu Rasulullah SAW menjawab, “kamu semua telah melakukan dosa, tetapi Allah juga mempunyai ‘tetamu’, kerana itu Allah tidak menghancurkan kamu,” katanya dalam satu ceramah terbuka.
Dilahirkan pada 1975, Sulaiman mendapat didikan agama sejak kecil. Pada usia 14 tahun, beliau telah menghafal seluruh al-Quran sebelum melanjutkan pelajaran dalam pengajian Islam termasuk ilmu Tafsir, Hadis, Akidah, Fikah dan Bahasa Arab.
Mendapat tajaan daripada organisasi Muslim World and the West, Sulaiman turut aktif menyebarkan dakwah ke seluruh dunia termasuk di Asia Barat, Afrika, Asia Tenggara dan negara-negara Barat.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, ulama mentafsirkan ‘tetamu’ Allah dimaksudkan adalah bayi masih menyusu, anak-anak kecil dan segala makhluk lain yang terdapat di bumi termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan di laut.
“Allah mampu menurunkan azab, menghukum dan menghancurkan pada bila-bila sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menahan diri-Nya dan sengaja membiarkan. Ini bagi menyantuni makhluk lain yang tidak berdosa.
“Seorang ulama pernah berkata, “ketika gempa bumi terjadi, sesungguhnya ia adalah ketentuan Allah, bukan kerana bumi terlepas daripada kendalian-Nya. Jangankan manusia, jumlah semut yang akan mati dalam gempa bumi itu pun sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah,” jelasnya.
Beliau berkata, bencana banjir besar atau tsunami melanda Banda Aceh yang mengorbankan nyawa dan harta benda sehingga menjadi padang jarak padang tekukur perlu dijadikan iktibar tentang dahsyatnya kekuasaan Allah.
“Ketika itu, saya berada di Kanada sebelum berangkat ke Amsterdam pada esoknya. Saya membaca akhbar dan mendapati kejadian bencana itu menjadi fokus utama hampir kesemua agensi berita seluruh dunia.
“Apa yang menarik perhatian saya adalah artikel mengenai seorang wanita yang berkata, “Tuhan, kami tidak berbuat salah kepada-Mu, mengapa Kau menurunkan bencana ini kepada kami? Dalam kejadian itu, bukan sahaja manusia, tetapi semua makhluk di sana musnah dan terkorban.
“Setiap hari manusia melakukan maksiat tetapi Allah masih memberikan mereka rezeki, kesihatan dan menganugerahkan pelbagai nikmat lain. Ini bagi memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan insaf daripada dosa yang dilakukan,” ujarnya.
Sulaiman berkata, ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
“Jika Allah menghukum manusia kerana kezaliman, nescaya tidak akan ditinggalkan satu pun kehidupan di bumi, tetapi Allah menangguhkan sehingga sampai waktu yang ditentukan,” (an-Nahlu :61)
Sumber: Utusan