#Islam: Aurat Wajib Ditutup Walaupun Terpaksa

BARU-BARU ini kecoh di media sosial dan media arus perdana tentang berita seorang artis yang berhijab tiba-tiba mengambil keputusan menanggalkan tudungnya selepas memakainya selama tiga tahun atas alasan enggan menjadi seorang hipokrit.

Ekoran tindakan tersebut, artis berkenaan me­nerima pelbagai komen negatif serta kecaman daripada masyarakat khususnya di media sosial. Tidak kurang juga yang mendoakan artis itu supaya sentiasa tabah menghadapi segala dugaan.

Jika dilihat secara kasar, memang mudah untuk kita menuduh artis ini sesuka hati namun dari segi hatinya sukar untuk dibuat telahan secara tepat. Dengan kata lain hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Penulis enggan menyentuh lebih lanjut tentang keputusan artis tersebut cuma apa yang dibincangkan dalam siri Kalam kali ini adalah tentang kewajipan kita menunaikan segala perintah Allah walaupun dalam keadaan terpaksa termasuk dalam soal berpakaian.

Hukum memakai pakaian menutup aurat adalah wajib bagi setiap lelaki dan wanita dan hukumnya berdosa sekiranya kewajipan itu diingkari. Untuk wanita Islam hukumnya lebih ketat kerana seluruh tubuh mereka itu adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan manakala aurat lelaki pula adalah antara pusat hingga ke lutut.

Pokok perbincangan kita di sini hanyalah membabitkan aurat antara seseorang wanita atau lelaki dengan mereka yang bukan mahram manakala batas aurat de­ngan mahram serta aurat suami isteri ada hukumnya yang lain.

Berbalik kepada kewajipan menutup aurat, perintah tersebut wajib dipatuhi dan tuntutan mengenainya jelas terdapat dalam al-Quran dalam Surah an-Nur ayat 31 dan al-Ahzab ayat 33 serta beberapa hadis Rasulullah SAW.

Antara kandungan petikan surah an-Nur ayat 31 itu, Allah telah memerintahkan wanita Muslim menutup belahan leher baju yang dipakai dengan tudung kepala mereka serta larangan memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali kepada suami, bapa, bapa mertua dan anak-anak serta beberapa golongan lagi yang disebut dengan jelas dalam ayat berkenaan.

Inilah hukum yang melibatkan aurat dalam Islam dan memakai tudung kepala itu adalah satu kewajipan buat wanita Muslim. Oleh itu mahu tidak mahu setiap wanita Muslim wajib mematuhinya walaupun dilakukan secara terpaksa.

Kewajipannya sama seperti ibadat yang lain antaranya menunaikan solat. Walau apa pun alasan, kita wajib bersolat meskipun dalam keadaan terpaksa. Alasan seperti seluar kotor, baju kotor, malas atau terlalu sibuk dengan urusan dunia semata-mata enggan bersolat sama sekali tidak boleh diterima.

Mungkin di saat kewajipan itu dilakukan secara terpaksa akhirnya Allah menganugerahkan cahaya hidayah-Nya kepada kita. Pada masa itu kita akan merasai satu nikmat yang tidak mampu diucapkan melalui kata-kata. Hidayah adalah milik dan rahsia Allah yang seorang pun tidak akan mengetahuinya sampai bila-bila.

Dalam pada itu sering kita terdengar dialog seperti “belum sampai seru” atau “biarlah hati ini benar-benar ikhlas” yang diucapkan oleh sahabat atau kaum kerabat kita apabila ditanya bila mahu berhijrah.

Persoalannya, tahukah kita bila seru itu hendak sampai? Lebih baik setiap kewajipan yang diperintahkan oleh Allah itu ditunaikan meskipun dalam keadaan terpaksa. Entah-entah seru yang ditunggu-tunggu itu tidak akan kunjung tiba sehinggalah saat kematian kita. Adakah itu yang kita mahukan?

Jika itu yang berlaku alangkah ruginya kita? Agama bukan satu eksperimen untuk dibuat uji kaji sebaliknya menjadi panduan hidup kepada kita semua untuk me­nuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Ingatlah pesan Rasulullah SAW melalui satu hadis baginda tentang kenikmatan hakiki yang bermaksud:
“Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga untuk orang kafir.”


Sumber: Utusan