#Islam: Daging Itu Berstatus Korban Atau Hadiah?


Apakah status lembu yang diberikan pejabat agama, menteri atau pihak berkuasa kepada masjid untuk dikorbankan?

Jawapan: Lembu sebegini belum lagi menjadi lembu korban. Ini kerana ibadat korban dilakukan oleh individu Muslim, bukan pejabat. Contohnya, pemberian lembu korban daripada pejabat menteri, adakah beliau yang melakukan ibadat korban? Tidak, kerana ia bukan duit pemimpin berkenaan.

Oleh itu, lembu sebegini adalah lembu hadiah sahaja. Maka pihak masjid yang menerima lembu berkenaan hendaklah menukarkan status haiwan itu kepada lembu korban. Caranya adalah dengan membuat jualan murah kepada penduduk setempat yang ingin melakukan ibadat korban.

Apabila individu Muslim menempah lembu tersebut untuk ibadat korban, maka baharulah dilakukan ibadat korban. Duit jualan tersebut pula hendaklah dimasukkan ke dalam tabung masjid untuk kegunaan bermanfaat. Namun jika lembu tersebut adalah daripada duit menteri, maka menjadi lembu korban.

Bagaimana tatacara pelaksanaan ibadat korban secara online?

Jawapan: Melaksanakan ibadat korban secara online adalah berbeza dengan tatacara biasa. Dalam kaedah biasa, peserta ibadat korban akan hadir pada hari penyembelihan, namun proses itu tidak berlaku dalam ibadat korban online.

Malah, peserta korban tidak tahu mana satukah lembu yang akan dikorbankan. Oleh itu, antara tatacara mudah ialah dengan mewakilkan penganjur untuk menyempurnakan ibadat tersebut. Kontrak akad di sini ialah wakalah iaitu mewakilkan.

Peserta mewakilkan penganjur untuk menunaikan ibadat korban bagi mereka. Contohnya, ibadat korban di Vietnam tetapi peserta berada di Malaysia.

Maka peserta ibadat korban memasukkan sejumlah wang untuk ibadat korban, kemudian menelefon atau mengisi borang ibadat korban untuk diwakilkan kepada penganjur melaksanakan ibadat korban.

Sumber: Utusan