ISLAM adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Agama ini menekankan pentingnya sikap tasamuh (toleransi) dan keadilan ditegakkan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan pegangan kepercayaan mereka.
Kebebasan dan keadilan untuk semua manusia menjadi pokok ajaran Islam.
Sejarah Islam telah banyak memaparkan betapa sikap toleransi dan keadilan yang diamalkan oleh generasi terdahulu telah membawa kepada kestabilan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dan bernegara walaupun dalam masyarakat majmuk.
Robert Winston dalam bukunya, The Story of God memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama yang cukup toleran. Katanya:
“Indeed, Islam has a proud history of being tolerant towards other monotheistic faiths, and defends individual liberties. Faiths is a matter of choice, and while Muslims encourage conversion, it is never regarded as acceptable to force a person to accept Muhammad’s message.”
Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat daripada beberapa surah yang menjelaskan sikap toleransi yang dapat dijadikan panduan dalam pergaulan dengan orang bukan Islam. Contoh surah Al-Baqarah: ayat 256, surah Yunus: ayat 99, surah al-Zumar: ayat 41 dan al-Mumtahanah: ayat 8-9. Contoh ayat yang menyuruh menegakkan keadilan pula adalah seperti surah al-Nisa: ayat 58 dan surah al-Maídah: ayat 8.
Dalam sejarah pembentukan negara Islam Madinah, Nabi Muhammad SAW telah menerapkan konsep dan semangat toleransi dalam Piagam Madinah yang boleh dianggap sebagai kontrak sosial bagi masyarakat kota Madinah yang bersifat majmuk. Piagam itu yang mengandungi 47 fasal dibahagikan kepada dua bahagian; bahagian pertama, 23 fasal berhubung dengan masyarakat Islam yang terdiri dari kaum Muhajirin dan Ansar dan bahagian kedua pula berkaitan dengan orang bukan Islam sebanyak 24 fasal.
Fasal 25 Perlembagaan Madinah mengandungi prinsip toleransi beragama iaitu orang bukan Islam diberikan kebebasan mengamalkan agama mereka. Berikut adalah petikan terjemahan fasal 25 yang penulis petik dari buku Piagam Madinah: Pandangan dan Ulasan oleh Profesor Ahmad Ibrahim dan Dzafir El-Qasimy:
“Bahawa kaum Yahudi dari Banu Áuf adalah satu ummah bersama orang mukmin; mereka bebas dengan agama mereka sendiri, dan orang Islam dengan agama mereka, begitu juga dengan orang yang bersekutu dengan mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri”.
Berkait dengan kebebasan beragama itu, maka Perlembagaan Madinah menyatakan setiap agama berhak mengurus hal ehwal agama sendiri. Mereka juga berhak menubuh yayasan-yayasan bagi maksud-maksud agama atau khairat.
Dalam konteks negara ini, Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan mengenai kebebasan beragama kepada semua penganut agama persis seperti mana yang terkandung dalam Piagam Madinah itu. Ini bermakna perlembagaan kita dengan jelas memiliki prinsip toleransi dan keadilan sosial dalam hal berkait kebebasan beragama. Ini terkandung dalam Perkara 11 yang mana tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
Walaupun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dalam mana-mana bahagian Persekutuan. Malah, kerajaan memberikan peruntukan khas bagi pembinaan rumah ibadah agama lain di negara ini.
Bagaimanapun pembangunan rumah ibadah di negara ini dikawal oleh kerajaan negeri berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan supaya tidak sewenang-wenangnya dieksploitasi oleh mana-mana pihak sehingga mencetuskan ketegangan agama dalam masyarakat.
Perkara 8 menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama tanpa mengira perbezaan agama, kaum, keturunan dan status sosial.
Kerajaan juga mengiktiraf percutian bagi perayaan sesuatu agama itu seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Hari Wesak, Deepavali, Thaipusam, Krismas dan juga beberapa perayaan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat komited menegakkan keadilan, mengamalkan sikap toleransi dalam memberikan hak kebebasan beragama kepada orang bukan Islam. Sungguhpun begitu, kebebasan beragama yang diberikan mempunyai sedikit sekatan yang tidak sama sekali menjejaskan konsep kebebasan agama itu.
Contohnya, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal orang bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran agama mereka kepada orang Islam.
Orang bukan Islam harus faham sekatan ini berkaitan ikatan orang Islam dengan agamanya yang tidak mengizinkan menukar agama atau murtad. Itu adalah perkara berkaitan akidah umat Islam yang tiada kena mengena dengan pegangan agama lain.
Isu ini tidak boleh dikaitkan dengan Perkara 18 Konvensyen Antarabangsa PBB tentang Hak-Hak Sivil dan Politik yang menegaskan dasar yang menafikan kebebasan seseorang untuk mengamalkan agamanya adalah satu kezaliman rohaniah.
*MOHD. AYOP ABD. RAZID, PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia/Utusan