DALAM hidup yang sementara ini, manusia diuji dengan pelbagai cubaan. Ada yang diberi kekayaan yang melimpah ruah, ada yang hidupnya susah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Ada juga yang hidupnya sederhana tetapi bahagia.
Demikian Allah mengatur rezeki hamba-hamba-Nya. ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)". (al-Ra’d: 26)
Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan selagi mana melalui cara yang halal. Malangnya masih ada yang terpedaya dengan tipu daya syaitan sehinggakan sanggup mengetepikan bab halal haram dalam mencari kekayaan. Antaranya makan rasuah dan menipu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu lalu tidak menolak kemungkinan menahan beberapa lagi ‘jerung’ yang terdiri daripada pegawai tinggi dan badan awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang terlibat dalam kes rasuah.
Ia susulan penahanan tiga pegawai kanan kerajaan dan GLC di Putrajaya. Melaka dan Kota Bharu yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa berjumlah kira-kira RM13 juta.
Semua orang tahu larangan terlibat rasuah. Ini ditegaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain). (Riwayat at-Tirmidzi)
Sayangnya golongan ini gagal mengawal nafsu dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Rasuah pada mereka ini adalah perkara yang dianggap biasa dan bukannya berdosa. Lagipun, walaupun makan rasuah, hidup mereka mewah, memiliki kereta dan rumah mewah, dapat naik pangkat dan sebagainya.
Golongan begini menyangka mereka dapat nikmat. Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredai-Nya itu mereka akan terus lalai mengingati Allah. Akhirnya mereka menemui kehancuran dan kemusnahan.
Sejarah menceritakan tentang Namrud yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya mati hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Begitu juga tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja terpaksa dipikul oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Ringkas cerita, dalam hidup ini, hendaklah kita terutama para suami dan bapa memastikan bahawa rezeki yang kita bawa pulang untuk nafkah isteri dan anak-anak itu mestilah halal. Walaupun kita boleh menipu isteri dan akan-anak tentang sumber pendapatan kita, Allah tahu semuanya.
Jangan sebab Allah kurniakan rezeki yang banyak, menjadikan kita alpa dan tidak rasa apa-apa apabila makan rasuah atau melakukan lain-lain maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberi nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Baihaqi)
Kalau hendak selamat, hidup mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.
Sumber: Utusan