#Islam: Meniti Badai Hidup Berumahtangga

KEHIDUPAN berumah tangga bukanlah semata-mata mencari keseronokan berpasangan, sebaliknya satu amanah Allah SWT yang seharusnya dipikul secara bersama oleh suami dan isteri.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32 bermaksud:
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?.”
Dalam memenuhi tuntutan dan amanah perkahwinan itu, tidak kurang pasangan suami isteri tewas di pertengahan jalan.

Hal ini terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan berlakunya kes-kes perceraian hampir setiap hari terutama dalam kalangan pasangan-pasangan Muslim.

Di Selangor sahaja, jumlah perceraian direkodkan sepanjang 2013 adalah sebanyak 6,028 kes, 2014 (6,912 kes), 2015 (7,698 kes).

Rasulullah SAW bersabda: 
“Perkara halal paling dibenci oleh Allah adalah perceraian.” - Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

HALAL TETAPI MEROSAKKAN

Sekalipun perceraian merupakan perkara yang dihalalkan, ia memberikan kesan kerosakan sangat besar.Antaranya, putus hubungan kekeluargaan, anak-anak hidup terbiar, membuka
ruang perlakuan zina, keruntuhan moral, meningkatkan jumlah kemiskinan dan memburukkan imej umat Islam serta agamanya.

Apakah punca-punca berlakunya perceraian? Antaranya ialah:

1. Tidak menghayati tujuan dan matlamat perkahwinan - Islam mensyariatkan perkahwinan kerana mempunyai matlamat yang lebih besar daripada sekadar menunaikan tuntutan nafsu.

2. Gagal mengurus perbezaan pendapat dan fahaman antara suami dan isteri.

3. Campur tangan orang lain dalam rumah tangga - seperti suami atau isteri mempunyai skandal atau bermain kayu tiga dengan orang lain, terdapat jua kes campur tangan ibu bapa atau mentua yang terlalu mencampuri urusan kehidupan anak dan menantu.

4. Tiada kematangan dalam mendirikan rumah tangga.

Umat Islam perlu menghayati hikmah di sebalik perkahwinan iaitu dengan adanya ketenangan, kebahagiaan, kemesraan, pemeliharaan iman dan menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu ibadah yang dituntut dalam Islam.

Antara perkara terpenting untuk mengekalkan sesebuah perkahwinan adalah saling berusaha untuk memahami antara satu sama lain, memahami hati budi pasangan, memahami kelebihan dan kekurangan, bahkan juga memahami tugas dan kerjaya pasangan masing-masing.

Rasulullah SAW sendiri sebagai qudwah hasanah menunjukkan bagaimana caranya bertolak ansur dalam kehidupan berumah tangga. Sekalipun baginda sibuk dengan tugas memimpin negara dan menyampaikan risalah Islam, baginda tetap mempunyai masa membantu kerja-kerja di rumah.

Baginda memerah sendiri susu kambing, menjahit sendiri bajunya dan melakukan kerja-kerja rumah tanpa meminta bantuan isteri-isterinya.

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada dalam rumahnya? Maka beliau menjawab yang bermaksud:
“Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja-kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk menunaikan solat,” - Riwayat Bukhari.
Setiap pasangan suami isteri yang beriman sewajibnya memperbanyakkan amal ibadah dan mendekatkan diri serta sentiasa berdoa untuk mendapatkan kebahagiaan rumah tangga.

Ini kerana setiap kebahagiaan itu datang daripada Allah SWT, maka sudah semestinya Allah juga berhak menarik balik kebahagiaan itu.

Sepertimana doa yang dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Furqan ayat 74:
“...Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

Sumber: Utusan