#Islam: Sakit Bukan Alasan Untuk Abaikan Solat

KISAH kematian khalifah Islam kedua iaitu Sayidina Umar al-Khattab r.a. cukup dimaklumi oleh setiap orang Islam. Peristiwa tragis itu dilakukan oleh seorang berketurunan Parsi, Abu Lu’lu’ah ketika Umar mengimamkan solat subuh di Masjid Nabawi.

Tikaman Abu Lu’lu’ah itu menyebabkan Umar mengalami kecederaan teruk pada perut sehingga memaksa khalifah kedua itu terlantar dan setelah beberapa hari dalam keadaan itu, beliau meninggal dunia pada 25 Zulhijah 23 Hijrah/644 Masihi.

Namun bagi seorang pendakwah Islam kelahiran Dallas, Amerika Syarikat (AS), Sheikh Abdul Nasir Jangda melihat kisah Umar tersebut mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan soal kefarduan bersolat yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Kefarduan tersebut bukan hanya ke atas setiap Muslimin yang sudah mukalaf tetapi harus dilakukan sama ada yang mukimin (menetap) mahupun dalam perjalanan.

“Akibat tikaman tersebut, Umar terbaring sepanjang masa dan ada ketikanya, dia tidak sedarkan diri tetapi apabila terdengar azan solat, Umar bangkit dari perbaringannya,” katanya dalam satu siri kuliah yang diterbitkan oleh LoveAllah328 di YouTube, baru-baru ini.

Tindakan Umar tersebut menimbulkan perasaan terkejut dalam kalangan ahli keluarganya sendiri sehingga ada yang bertindak untuk menghalangnya bagi mengelakkan luka tikaman itu bertambah teruk, tetapi Umar bertegas untuk bersolat di masjid.

“Ahli keluarganya mempersoalkan kenapa dia perlu bersolat dalam keadaan luka teruk tetapi Umar menyatakan bahawa dia teringat pesanan Rasulullah SAW bahawa tidak akan ada cahaya bagi mereka yang meninggalkan solat.

“Malah, kata Umar, baginda turut menyatakan bahawa solat diibaratkan kepala pada anggota dan badan seseorang manusia. Atas sebab itulah, dia mesti bersolat,” kata Abdul Nasir yang merupakan antara tenaga pengajar Institut Qalam, Dallas, AS.

Kefahaman Umar terhadap kefarduan itu menggambarkan tentang komitmen mendalam para sahabat bahawa mereka perlu bersolat selagi bernyawa. Ia sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Mariam:31 bermaksud:
“Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”
“Firman tersebut merupakan peringatan tegas terhadap pendekatan yang kita pegang berkenaan aspek kefarduan bersolat. Ia bukan hanya cara kita mendekatinya tetapi juga sejauh manakah penerimaan dan pelaksanaan kefarduan itu dalam kehidupan seharian kita.

“Kita seharusnya tanam dalam diri bahawa wajib bersolat sehingga nafas terakhir,” kata pendakwah yang pernah menjadi imam di Masjid Colleyville di Dallas selama tiga tahun.

Ikrar tersebut bukanlah satu teori, kata-kata penyedap perasaan atau sebagai satu slogan agama Islam kerana Rasulullah SAW sendiri ketika hayatnya hampir ke penghujung pernah berbuat demikian.

Pada ketika itu, Rasulullah SAW dalam keadaan tidak sihat sehingga menyukarkan baginda untuk berdiri, apatah lagi berjalan sendirian menuju ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.

“Jadi, bagi membolehkannya menunaikan solat fardu lima waktu, Rasulullah SAW memohon bantuan para sahabat untuk membawa baginda ke masjid setiap kali masuk waktu solat.

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu menunjukkan tentang kepentingan untuk bersolat sehingga ke penghujung nyawa kita,” katanya.

Sumber: Utusan