Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Kesal Permainan Politik Rafizi

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kesal dengan tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berterusan memutarbelit hal kebajikan pesara ATM demi kepentingan politik sempitnya.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah berkata, Rafizi sebelum ini pernah membuat tuduhan tidak benar terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan akhirnya berhadapan tindakan saman oleh LTAT.

“Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM menolak sebarang campur tangan pihak luar yang cuba menangguk di air yang keruh berhubung kait soal kebajikan bakal pesara dan veteran ATM.

“Tindakan Rafizi yang kononnya mahu menjuarai isu-isu berkaitan bakal pesara dan veteran ATM amat dikesali. Beliau tiba-tiba muncul tahun ini dan bertindak populis dengan membuat pelbagai kenyataan tidak berasas.

“Kali ini beliau muncul lagi dengan bermacam-macam tuduhan. JHEV tidak akan melayan sebarang individu yang cuba memutar-belit isu demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mohamad Khir berkata, ATM sentiasa menjaga dan mengutamakan aspek kebajikan setiap bakal pesara dan veteran ATM termasuk dengan mewujudkan “One Stop Centre (OSC)” bagi mengurus dan menangai isu-isu yang dihadapi bakal pesara dan veteran ATM termasuk dalam soal pembayaran ganjaran, faedah dan pencen.

Menurutnya, OSC ditubuhkan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM di setiap negeri di seluruh negara berkuatkuasa 6 September 2016.

Katanya, bakal pesara dan veteran ATM tidak lagi perlu hadir ke Kuala Lumpur untuk melakukan sebarang urusan kerana mereka boleh merujuk terus ke OSC berhampiran.

Jelasnya, OSC berperanan sebagai medium perhubungan di antara bakal pesara dan veteran ATM dengan Jabatan Rekod dan Pencen (JRP), Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan LTAT.

“Saya memohon semua bakal pesara dan veteran ATM yang menghadapi apa jua bentuk permasalahan atau lain-lain urusan berkaitan untuk hadir ke OSC.

“Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk mengenal pasti punca setiap permasalahan yang dihadapi sekali gus membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar yang segera,” katanya.

Rafizi sebelum ini menggugut beliau akan menjelajah ke kem tentera utama seluruh negara bagi menghasut anggota dan pesara ATM supaya membenci UMNO kerana bimbangkan nasibnya yang akan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau berhadapan saman oleh LTAT kerana menyebarkan dakyah berhubung pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan. –Kedahnews.com