Jaminan Mempertahankan Islam Dalam Perlembagaan Negara

SEBAGAI negara yang mengamalkan konsep federalisme atau persekutuan, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang tersendiri. Selain daripada Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan sistem negara persekutuan. Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan persekutuan negara-negara lain dari sudut hubungan antara persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan umpamanya Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Fungsi kedua-dua badan ini telah digariskan yang seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu perlembagaan ini, cukuplah sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain Islam terletak di dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan merupakan Ketua Agama bagi negeri baginda. Keharmonian ini ditambahkan apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa. Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan malah, dengan kedatangan Islam ke Alam Nusantara, undang-undang adat juga telah membuat penyesuaian di dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat-peringkat sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan:
Adat bersendikan syarak,
Syarak bersendikan Kitab Allah,
Syarak mengata adat memakai,
Cermin yang tidak kabur,
Pelita yang tidak padam.
Malah sejak sebelum penjajahan lagi Islam memainkan peranan utama di dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam terutamanya di dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik oleh penjajah. Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan Sunah ke dalam hutan, pemimpin yang tidak mempercayai kedua-dua sumber utama itu juga tidak layak menerajui kepimpinan negeri.

Kuasa tegakkan syiar Islam

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, ia merupakan autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam. Ia termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti dan mahkamah syariah.

Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukan hanya deklarasi sahaja. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri.

Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurispruden tersendiri yang kadangkala tidak difahami oleh orang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain, Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai oleh Ketua Agama melainkan mendapat perkenan daripada Raja-Raja Melayu. Tidak keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya, Negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen dan pertahanan.

Walaupun Islam dalam bidang kuasa Negeri, namun Kerajaan Persekutuan tidak berlepas tangan. Itulah sebabnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ditubuhkan bukan untuk mencampuri urusan agama negeri-negeri tetapi sebagai wadah untuk penyeragaman pentadbiran agama.

Dengan cara ini undang-undang dan amalan dapat diseragamkan setakat difikirkan bersesuaian.

Kedua-dua badan perundangan dan eksekutif di peringkat Persekutuan serta Negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang boleh menggugat konsep federalisme.

Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala. Kerangka Perlembagaan yang mengamalkan konsep federalisme ini sudah lama dilaksanakan di Malaysia.

Ia perlu dipertahan dan dipelihara walaupun Islam berada di bawah kuasa Negeri namun ia tidak bermakna perundangan Islam lebih rendah daripada perundangan di peringkat Persekutuan. Jaminan ini secara tersurat dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah sumpah Yang di-Pertuan Agong semasa baginda menaiki takhta untuk memelihara Islam pada setiap masa.

Oleh itu mempersoal kedudukan istimewa Islam juga seolah-olah mempersoal Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen yang sudah kita terima, terimalah ia secara keseluruhannya bukan dengan cara terpilih.

Sumber: Utusan