Jangan "Lari" Dari Bayar Hutang Yang Dipersetujui

MANUSIA ini ada pelbagai jenis. Sebab itu timbulnya pepatah, banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Antara ragam manusia yang menyusahkan orang lain adalah liat bayar hutang.

Malah, ada segelintir yang memang tidak mahu bayar hutang. Masa nak berhutang bukan main lembut tutur katanya. Ringkas kata, lembut gigi daripada lidah.

Namun, apabila sudah berjaya dapat pinjaman, mereka liat membayar hutang. Lebih parah, perbuatan golongan terbabit menjejaskan peluang orang lain mendapat kemudahan pinjaman tersebut. Inilah yang menimpa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia ditubuhkan dengan niat murni membantu membiayai pengajian golongan pelajar di institusi pengajian tinggi. Malangnya daripada sasaran kutipan RM15 bilion hanya RM8.6 bilion yang berjaya dikutip. Maknanya kira-kira 45 peratus peminjam masih ingkar melunaskan pinjaman pelajaran masing-masing.

Kita sedia maklum, bagi meneruskan pembiayaan yang efisien kepada pelajar, para peminjam PTPTN perlu membayar balik pinjaman supaya wujud kesinambungan pembiayaan PTPTN untuk generasi akan datang.

Dalam hal ini, bagi yang masih belum mendapat pekerjaan, barangkali mereka ada alasan. Namun, bagi yang sudah berkerjaya, mampu memiliki rumah dan berkereta perbuatan mereka tidak boleh dimaafkan. Kepada mereka ini ingatlah di dunia boleh ‘lari’ tetapi di akhirat, hukuman Allah menanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." (Riwayat Bukhari)
Baru-baru ini, PTPTN menawarkan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) sebanyak RM31.61 juta kepada 21,074 pelajar yang akan melanjutkan pengajian peringkat ijazah di universiti awam bagi sesi September ini.

Waran WPP itu mem­bolehkan setiap pelajar me­nerima wang bernilai RM1,500 sebagai usaha meringankan beban kewangan mereka ketika memulakan pengajian di universiti. Walaupun nilainya tidak besar tetapi ia amat bermakna kepada penerimanya untuk memulakan hidup di menara gading.

Umumnya, memberi hutang itu pahalanya lebih besar daripada bersedekah. Sebabnya, orang yang meminta sedekah hanya ingin mencukupkan ke­perluan hidupnya, sedangkan orang yang ingin berhutang dan meminjam adalah untuk keperluan hidupnya bukan semata-mata kemahuan. Siapakah yang mahu menjatuhkan maruah dirinya dengan berhutang melainkan dia benar-benar dalam kesempitan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda’. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam kea­daan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan”. (Riwayat Ibn Majah dan Baihaqi)
Rasulullah SAW mengecam mereka yang menangguhkan bayaran hutangnya sedangkan mereka itu kaya atau berkemampuan menjelaskan hutang mereka. Tindakan melewatkan bayaran hutang ini seolah-olah menafikan hak orang yang memberikan pinjaman. Ini kerana mungkin mereka memerlukan pula wang tersebut untuk tujuan kemaslahatan yang lain.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
"Menunda-nunda orang kaya untuk membayar hutang (memberi hak kepada orang lain) adalah zalim". (Riwayat al-Tirmidzi).
Jangan jadi kacang lupakan kulit.

Sumber: Utusan