TEMPOH masa bagi solat subuh bermula ketika azan dilaungkan sehingga sebelum matahari mula terbit. Dengan kata lain, hanya dalam tempoh kira-kira sejam selepas azan dilaungkan.
Namun disebabkan waktu solat itu berada dalam zon kesibukan manusia mengendalikan urusan dunia dan juga kesukaran untuk bangkit daripada lena tidur, maka solat subuh sering kali diabaikan atau ditinggalkan begitu sahaja.
Sedangkan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, baginda menunjukkan tingginya nilai solat fardu tersebut dan sabda baginda bermaksud:
“Dua rakaat (sebelum) fajar (solat subuh) lebih baik (nilainya) daripada dunia dan seisinya.” - Riwayat Muslim dan Tirmizi.
Seorang pengajar Institut al-Maghrib, Saad Tasleem yang juga graduan Universiti Madinah, Arab Saudi berkata, situasi tersebut disebabkan tidur lewat, keletihan yang melampau atau sesuatu terjadi pada waktu tengah malam.
“Bila sedar dari tidur, kita mendapati matahari sudah terbit walaupun sebelum tidur kita telah tetapkan waktu penggera untuk solat subuh,” kata pendakwah yang dilahirkan di Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Jadi, apa yang harus dilakukan sekiranya melalui detik tersebut? Beliau mempunyai jalan penyelesaiannya, iaitu:
Apa perlu dilakukan jika terlepas waktu solat subuh?
Kebiasaannya, ramai daripada kita akan melakukan dua perkara setelah menyedari terlepas waktu subuh iaitu pertama, mengalah dan meneruskan tidur dan yang kedua, meneruskan rutin kehidupan biasa tanpa langsung wujud rasa berdosa.
Saya akan ceritakan mengenai tiga perkara yang perlu kita lakukan jika terlepas waktu solat subuh.
Apa tiga perkara itu?
Pertama, anda wajib solat subuh sebaik sahaja tersedar daripada lena tidur walaupun menyedari matahari sudah mula terbit. Islam mengajar bahawa kita seharusnya mendirikan solat subuh sebaik sahaja terjaga dari tidur walaupun agak lewat atau matahari sudah mula terbit.
Bagaimana yang kedua?
Kedua adalah tingkatkan amalan atau solat sunat. Jadikan, solat subuh sebagai perangsang untuk meningkatkan amalan ketaatan yang lain dan antara yang paling penting adalah solat sunat yang dilakukan ketika matahari terbit. Sebagai contoh, solat sunat duha atau ramai yang memanggilkan sebagai solat sunat yang dilakukan ketika matahari mula terbit.
Ketiga pula?
Perkara ketiga bagi saya amat penting. Jangan disebabkan terlepas waktu solat subuh, maka ia dijadikan alasan untuk mengabaikan solat fardu lain.
Kita kena ingat bahawa syaitan yang membisikkan alasan itu dengan menyatakan bahawa tiada gunanya untuk solat subuh, Duha atau lain-lain solat bila terlepas waktu subuh.
Terlepas waktu subuh sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berusaha lebih gigih untuk memastikan solat-solat lain pada hari tersebut dilakukan pada waktunya.
Sumber: Utusan