Jeep Cherokee Hangus Sebab Samsung Note 7 Meletup


MIAMI – Sebuah jip hangus terbakar dipercayai berpunca daripada sebuah Samsung Galaxy Note 7 yang sedang dicas tiba-tiba meletup di dalam kenderaan ringan model Jeep Grand Cherokee itu.

Menurut sebuah laman berita antarbangsa, difahamkan pemilik trak kecil berkenaan dan isterinya baru sahaja pulang dari satu jualan garaj bersempena dengan sambutan Hari Buruh di Florida, Amerika Syarikat.

Tambah laman itu lagi, pemilik jeep berkenaan, Nathan Dornacher ingin mengangkat meja yang dibelikan untuk anak perempuannya dan meninggalkan telefon Note 7 miliknya dalam keadaan bercas di dalam jip tersebut.


Namun salakan anjing miliknya membuat Nathan kembali ke jipnya yang kelihatan sudah mula terbakar.

“Saya tidak menyangka, satu peranti baru, sebuah telefon berupaya membakar kereta, rumah atau mencederakan ahli keluarga saya,” katanya.

Meskipun tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu. Namun wakil Samsung mengesahkan sudah menghubungi Nathan untuk membantunya sekadar termampu.


Sebelum ini, beberapa kes Galaxy Note 7 meletup telah dilaporkan berlaku di serata dunia dan Samsung telah membuat pengumuman untuk menarik balik peranti berkenaan dari pasaran dunia.

Susulan siri insiden letupan membabitkan telefon bimbit itu, beberapa buah syarikat penerbangan Australia mengambil langkah proaktif mengeluarkan amaran kepada para penumpangnya untuk tidak mengecas telefon berkenaan semasa penerbangan. - Kedahnews.com