Jeff Ooi "Serah Diri", Bawa Peguam Bersama


GEORGETOWN - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di Jalan Pattani, Georgetown, Pulau Pinang  hari ini bagi memberi keterangan berhubung komen beliau mengenai kematian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Beliau tiba kira-kira jam 2.40 petang bersama peguamnya, RSN Rayer, yang juga merupakan ADUN Seri Delima.

Sejak Jumaat lalu, Ahli Parlimen itu dikritik selepas didakwa memuat naik status, “Adios Harun Din. Let There Be Peace” dalam akaun twitternya dan berikutan insiden itu, beliau telah menukar akaunnya daripada awam kepada peribadi.

Jeff Ooi kemudian menafikan catatan di twitternya kerana beliau berkata imej yang diedarkan telah dimanipulasi melalui Photoshop dan menegaskan mempunyai kuasa penuh ke atas akaun media sosialnya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa Jeff Ooi untuk menyerah diri kepada polis jika beliau mahu proses itu berjalan lancar.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan-perkataan dengan sengaja dengan niat melukakan perasaan seseorang. -Kedahnews.com